Kehadirannya adalah asas kepada
permulaan sesebuah taman. Kehijauannya menjadi kanvas kepada tanaman berbunga
dan pokok rendang yang lain.
HAMPARAN rumput yang kemas mampu
membuatkan sebuah taman biasa tampil hebat. Dan, begitulah sebaliknya. Sebuah taman
yang indah sekalipun akan kehilangan serinya apabila rumput tidak dijaga.
Penggunaan rumput ornament menjadi keperluan
penting bagi pembentukan sesebuah taman.
IDEA: selain tanaman secara menyeluruh, rumput ornament juga menarik jika diselang-selikan dengan kepingan batu
laluan. Pilihlah batu laluan yang ringkas. Jika mahukan unsur terapi, gunakan
kepingan batu laluan yang mempunyai permukaan timbul. Potong kepingan rumput
mengikut saiz batu laluan dan susun mengikut kreativiti anda. Idea ini juga
menarik untuk laluan kereta menuju ke anjung kediaman.
JENIS-JENIS RUMPUT ORNAMEN
Zoysia matrella @ siglap
Rumput ini mempunyai daun yang keras
dan runcing di bahagian hujungnya. Daun yang matang akan mempunyai warna hijau
kekelabuan. Sekali imbas, Z.matrella kelihatan tak ubah seperti rumput
serangoon. Tetapi, ia mudah dikenal pasti melalui bunganya. Rumput serangoon
mempunyai bunga yang bercabang. Rumput Siglap sering ditemui di kawasan
berpasir terutama di sekitar pantai. Ini membuatkan ia sesuai ditanam untuk
kediaman tepi pantai.
Zoysia tenuifolia @ Korean Velvet
Bertekstur halus, mempunyai kadar
pertumbuhan yang sangat padat tetapi mempunyai sistem akar yang pendek. Ia
mempunyai kadar tumbesaran yang lambat dan perlu ditanam rapat-rapat. Rumput
ini sesuai menghiasi taman kediaman yang kecil kerana sifat daunnya yang pendek
dan lebat. Daunnya berwarna hijau pekat dan kelihatan cukup menarik dengan
penjagaan rapi.
Pearl Grass
Rumput kacukan yang dihasilkan daripada
rumput Buffalo atau Paspalum conjugatum. Mempunyai daun yang
lebar dan sedikit pendek berbanding P.conjugatum. Namun, di bahagian yang
redup, rumput Pearl akan kembali kelihatan seperti induknya.
Philippine Grass
Sejenis rumput yang baru diperkenalkan
di Malaysia. Ia mempunyai pertumbuhan yang lebat dan cukup menarik untuk taman
kediaman. Teksturnya lebih halus dan berwarna hijau muda.
No comments:
Post a Comment