TIDAK SEMUA BERPUAS HATI MEMBELI
RUMAH SIAP OLEH PEMAJU. DEMI MEMENUHI KEHENDAK ATAU CITA RASA, ADA YANG
MERANCANG MEMBINA RUMAH SENDIRI DI ATAS TANAH PUSAKA ATAU TANAH BANGLO YANG
DIBELI DARIPADA PEMAJU. TIDAK KURANG JUGA MEREKA YANG MENGUBAH SUAI RUMAH SEBAIK
SAHAJA MENERIMA KUNCI. TIDAK KIRALAH SAMA ADA MERANCANG MEMBINA RUMAH DIATAS
TANAH PUSAKA ATAU LOT BANGLO TETAPI TIDAK MAHU MENGGUNAKAN KHIDMAT KONTRAKTOR
YANG DITAWARKAN ATAUPUN MENGUBAH SUAI RUMAH DEMI KESELESAAN.
BERIKUT ADALAH 9 PERKARA YANG PERLU
DIAMBIL KIRA SEBELUM MEMBINA MAHUPUN MENGUBAH SUAI :
1.
SUMBER KEWANGAN
Sebelum idea membina atau mengubahsuai
timbul, perkata utama yang bermain di fikiran adalah sumber kewangan yang
mencukupi untuk menanggung kos. Pastikan sumber kewangan mengubah suai diperoleh
dengan cara sah, tidak melanggar undang-undang dan tidak menyusahkan anda di
kemudian hari. Biarpun anda sudah mengira jumlah yang diperlukan tetapi anda
masih perlu mempunyai sumber kewangan lain untuk menampung kos yang tidak
dijangka selepas rumah siap dibina atau diubahsuai.
2.
LANTIK KONTRAKTOR ATAU JURUREKA BENTUK DALAMAN PROFESIONAL
Penggunaan bahan tidak sesuai dari segi
kemasan lantai dan dinding, bukaan tingkap serta pintu, laluan sempit dan
siling yang tidak memenuhi kehendak antara sebab utama pemilik membuat
pengubahsuaian atau membina baru. Justeru itu, sangat penting pemilik rumah
berunding dengan jurureka bentuk dalaman profesional untuk mendapat nasihat
atau cadangan. Harus diingat perunding reka bentuk dalaman akan mengenakan
bayaran atas khidmat nasihat yang diberi.
3.
LIHAT LOKASI
Anda mungkin mengimpikan banyak benda
tapi hakikatnya anda mendiami kediaman jenis kondomium, apartmen atau rumah lot
tengah. Bagi yang mendiami rumah jenis kondominium atau apartmen, anda boleh
mengubah rekaan dalaman tetapi tidak boleh menambah ruang. Manakala bagi yang
mendiami rumah lot tengah, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum
mengubah suai rumah. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini terdapat ramai
kontraktor yang boleh meruntuhkan rumah lot tengah dan membina tanpa menggangu
jiran.
4.
PERBANDINGAN HARGA
Buat perbandingan harga daripada
beberapa kontraktor dan pembekal dengan meminta mereka menyedia sebut harga ke
atas kerja yang dikehendaki atau barangan yang akan dibekalkan. Anda perlu
mendapatkan sekurang-kurangnya tiga cadangan harga daripada kontraktor dan
perunding reka bentuk dalaman. Amat penting mendapatkan beberapa anggaran harga
untuk kita menilai dan membuat keputusan memilih kontraktor yang mana sesuai
dan menawarkan harga berpatutan.
5.
PERJANJIAN HITAM PUTIH
Pastikan setiap anggaran harga tepat
dan menyeluruh mengikut cadangan serta hendaklah dibuat secara bertulis sebagai
rujukan kita dan kontraktor. Jika tidak dibuat secara bertulis akan berlaku
pertukaran jumlah harga yang menyebabkan bajet melebihi anggaran. Hal ini
penting untuk mengelakkan kos tersembunyi yang akan menimbulkan banyak masalah
di kemudian hari.
6.
CADANGAN REKA BENTUK SECARA PROFESIONAL
Arkitak atau jurureka bentuk dilantik
perlu membuat lakaran cadangan dalam bentuk dua dimensi iaitu pelan dan lakaran
pandangan perspektif. Mereka juga perlu menyediakan lukisan kerja pembinaan
mengikut cadangan dan butiran yang dipersetujui. Ini semua perlu diambil kira
bagi memudahkan kerja pengubahsuaian yang bakal dilakukan.
7.
TANGGUNGJAWAB KONTRAKTOR
Sebelum melakukan pengubahsuaian, ambil
kira jadual, tempoh kerja dan tarikh siap supaya mengikut perancangan.
Kontraktor akan menyediakan kos pembinaan berdasarkan pilihan bahan dan nilai
kerja yang perlu dilakukan. Kontraktor perlu menyiapkan kerja mengikut jadual
dan memohon bayaran berdasarkan kos yang dipersetujui mengikut sebut harga di dalam
kontrak.
8.
KELULUSAN PIHAK BERKUASA
Pastikan mendapat kelulusan pelan
pengubahsuaian dan keselamatan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan
sebarang pengubahsuaian atau kerja pembinaan.
9.
JIRAN TETANGGA
Jika anda melakukan pengubahsuaian di
kediaman yang sekelilingnya yang didiami penghuni, maklumkan kepada mereka
mengenai tindakan anda itu. Tujuan memberitahu jiran terutamanya yang tinggal
di sebelah rumah adalah untuk mengelakkan timbul perbalahan atau rasa tidak
puas hati dengan kesan bunyi atau habuk semasa proses pengubahsuaian dilakukan.
Dengan itu, jiran dapat berjaga-jaga dan menurunkan perhiasan yang digantung
pada dinding bagi mengelakkan barangan mereka rosak. Komunikasi yang baik
melancarkan kerja pengubahsuaian demi mencapai impian mendapatkan gaya ruang
yang anda idamkan.
No comments:
Post a Comment