Saturday, 28 June 2014

SUDUT/RUANG BELAJAR

SUDUT/RUANG BELAJAR

Membentuk ruang belajar pada sudut kamar memerlukan perancangan yang teliti. Penggunaan ruang yang maksima dapat melancarkan pergerakan, walaupun di ruang terhad.


  • Kemasan perabot bina dalam dwi-fungsi seperti almari boleh ditambah dengan meja belajar di bahagian sisi sebagai memaksimakan penggunaan ruang.
  • Pilihlah kemasan meja jenis kayu ramin atau kasah warna asal kayu atau lembut bagi menerapkan unsur semulajadi dalam ruang dan keselesaan ketika mentelaah.
  • Pastikan juga ruang ini mempunyai penataan cahaya mencukupi ataupun dibantu dengan lampu meja pelbagai reka bentuk menarik. Bukan sahaja memudahkan ketika membaca atau menulis tetapi sebagai menambah gaya meja anda.
  • Pilihlah meja dan kerusi yang mempunyai reka bentuk yang baik dan selesa. Agar sudut ini tidak berselerak, sediakan tempat penyimpanan fail, alat tulis dan bahan rujukan di tempat berasingan tetapi paling hampir.








Wednesday, 25 June 2014

IDEA REKAAN

Taman Kecil

Halaman Teres

Kehadiran binaan laman berupaya memberikan terapi secara psikologinya kepada pemilik kediaman. Kehijauan pokok dan deruan air dari kolam merupakan ketenangan dan santai yang anda boleh nikmati di laman anda tanpa perlu bersusah payah ke taman atau tasik.

Lantaran kita kerap mendengar masalah rakan-rakan yang menghadapi kesukaran dan dilema menata halaman teres lot tengah, dan kami memahami keresahan anda untuk mengatur ruang terhad itu. Kali ini kami menampilkan rekaan laman khas untuk kediaman jenis ini yang menggunakan kebanyakannya elemen dan pokok yang murah dan senang diselenggara.
















Sunday, 22 June 2014

KAKTUS

Kaktus, berduri & unik


KAKTUS adalah tumbuhan dalam kategori succulent. Ia juga biasa menjadi tumbuhan hiasan yang unik dan cantik di halaman anda. Kumpulan ini biasanya mempunyai keupayaan menyimpan kapasiti air dalam badan iaitu batang dan daun dan anda tidak perlu menyiramnya selalu. Kaktus kebanyakannya berbentuk silinder dengan permukaan yang tidak rata. Permukaannya juga berlilin untuk mengurangkan kehilangan air dan kelembapan kerana ia memang terdedah kepada cuaca panas. Spesies ini mempunyai duri yang membantunya melindungi diri daripada binatang dan juga memberikannya bentuk badan.

Kaktus terdiri daripada Echinocactus, Mammilaria, Cleistocactus, Opuntia, dan schlumbergera. Ia juga ada kalanya mengalami mutasi yang mengakibatkan pembentukan yang ganjil. Bentuk yang ganjil juga disebabkan oleh faktor genetik tidak normal atau kekurangan nutrien semasa pertumbuhan. Tumbuhan berduri yang unik ini perlu hidup dalam keadaan yang paling kurang kelembapan atau kering. Anda perlu menempatkan kaktus di kawasan kering dan terdedah kepada cahaya matahari manakala bancuhan tanah juga perlu terdiri daripada bahan yang longgar untuk menggalakkan pengeringan yang cepat tatkala terdedah kepada air atau kelembapan.



1.    Mammilaria elongate
Spesies ini mempunyai bentuk badan yang memanjang dan ditumbuhi duri yang berwarna coklat atau keemasan seperti jarum. Bunganya pula berwarna kuning muda hingga merah jambu manakala buahnya pula berwarna merah jambu dan merah. Spesies ini juga dijaga dan popular kerana mampu mengeluarkan bunga ketika masih muda. Sama seperti kebanyakan kaktus yang lain, spesies ini memerlukan bancuhan tanah yang kering dan longgar untuk pertumbuhan dan sebaik-baiknya menggunakan pasu yang berlubang agar lebihan air siraman tidak bertakung.

2.    Bishop cap / Astrophum myriostigma
Kaktus bishop cap adalah jenis kaktus yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm. Kaktus ini seolah-olah mempunyai sirip pada bahagian batangnya. Spesies ini dikatakan berasal dari Texas dan Mexico. Bunganya berwarna kuning dengan hujung kelopak seakan-akan berwarna hitam akan dihasilkan kira-kira 5 tahun selepas ditanam. Proses pengeluaran bunga dari kaktus ini kemudiannya diikuti dengan pengeluaran buah. Bishop cap sesuai ditanam dengan menggunakan tanah yang kering dan mengandungi mineral yang sedikit sahaja. Spesies ini mudah mati jika terlebih siraman. 

3.    Chin cactus / Gymnocalycium saglionis
Spesies ini paling sesuai sebagai permulaan bagi mereka yang baru ingin memulakan tanaman kaktus kerana ia senang membiak. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 30 cm. Spesies ini berwarna hijau dengan duri yang berwarna hitam, putih atau coklat kemerah-merahan. Ia sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai kelembapan yang kurang bagi memastikan pertumbuhan yang sihat. Di samping itu, 1/3 bancuhan tanah juga perlu mengandungi organik dan mudah kering apabila disiram. Untuk menjaga kesuburannya, titikkan makanan kaktus sekali setiap sebulan. Ia adalah spesies yang paling mudah dijaga dan mudah membiak. Bunga yang dihasilkan chin cactus biasanya berwarna putih, krim, kuning, merah, atau merah jambu.

4.    Golden barrel / Echinocactus grusonii
Golden barrel adalah kaktus yang berwarna hijau dan diselaputi duri yang berwarna keemasan yang merupakan ciri estetika yang ada padanya. Ia adalah spesies yang lambat pembesarannya. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai ketinggian satu meter. Ia tidak akan mengeluarkan bunga sehingga mencapai kematangan dan sekurang-kurangnya 40 hingga 60 cm ukuran diameter. Jika anda berniat untuk menanamnya, pastikan anda mempunyai tempat yang terbuka dan terdedah pada sinaran matahari untuk menempatkannya nanti. Kaktus ini memerlukan siraman sekali sekala dan mudah mendapat serangan serangga perosak. Golden barrel mengeluarkan bunga berwarna kuning muda selepas mencapai tahap kematangannya.

5.    Opuntia / Opuntia microdasys
Kaktus spesies ini berbentuk kepingan bujur yang mempunyai permukaan rata. Opuntia paling popular dalam seni landskap terutama sekali opuntia ficus indica yang kurang berduri dan mampu mencapai ketinggian hingga 5 meter. Spesies microdasys mempunyai bulu-bulu yang halus. Microdasys yang matang boleh mencapai ketinggian sehingga 1.8 meter. Untuk menanamnya, pastikan anda menggunakan bancuhan tanah longgar untuk memudahkan air siraman kering. Bunganya berwarna kuning manakala buahnya pula berwarna merah. 


Tip membeli kaktus:
1.    Ketika memilih kaktus pastikan ia dalam keadaan bersih dan mempunyai permukaan kulit yang sihat dan tegang. Pastikan badannya tidak lembik atau mengalami sebarang ‘luka’ pada badannya.
2.    Kaktus tersebut tidak kelihatan pucat atau hijau muda. Jika ini terjadi, ia menunjukkan ia tidak sihat kerana telah terdedah kepada cahaya matahari yang samar sahaja.

3.    Pastikan kaktus bebas dari sebarang serangga perosak seperti mealybugs yang kecil dan berwarna putih, yang melekat pada bahagian batang. 

Thursday, 19 June 2014

Harum segar laman tradisi


1. Kenanga /canangium odoratum

Rupanya tidaklah begitu cantik dan indah namun mengeluarkan bau yang wangi dan harum sepanjang hari. Sering menjadi pilihan sejak dahulu kala untuk menghiasi laman melayu. Ia berasal dari Asia Tenggara dan menjadi pilihan untuk dijadikan bunga rampai. Ia membesar secara sederhana dan boleh mencapai ketinggian 2.5 meter hingga 3 meter. Bunganya yang hijau kekuningan berbau harum dan mempunyai khasiat untuk merawat sesak nafas manakala kulit pokoknya boleh merawat kudis. Ia boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan dan kaedah tut.



2. Bakung /hymenocallis littoralis variegate

Daunnya panjang meruncing di hujungnya juga dikenali sebagai spider lily. Pokoknya mempunyai belang pada bahagian daunnya yang berbentuk panjang. Pokok ini biasa ditanam di atas batas dan mengeluarkan bunga berbentuk seakan-akan seekor labah-labah apabila matang. Memerlukan tanah yang gembur untuk membesar dan boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah belahan rumpun dan bebawang.



3. Tanjung /mimusops elengi

Bunga tanjung berbunga kecil dan mempunyai akar banir yang kuat mencengkam. Pokoknya tidak terlalu kecil dan boleh membesar hingga merimbuni laman. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 20-25 meter berasal dari kepulauan india. Bunga kecil enam kelopak berwarna kuning yang tumbuh lebat pada pokok ini akan menghasilkan aroma yang wangi sepanjang hari terutamanya pada waktu malam. Pokok ini boleh dibiakkan melalui biji benih. Daunnya juga berkhasiat untuk mengurangkan panas badan akibat demam dengan melumurkan air ramasan daun tanjung pada badan.



4. Ros Cina /gardenia jasminoides

Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian sehingga 6 kaki dan sentiasa menghijau. Daunnya tersusun secara bertentangan dan tebal serta boleh memanjang sehingga 4 inci. Bunganya pula berwarna putih dan berbau wangi. Buah tumbuhan ini berwarna oren dan berbentuk oval dengan ukuran panjang 1.5 inci. Nama Melayu: Bunga Cina, Kaca Piring, Bunga Susu.

5. Cempaka /Michelia champaca linn

Ia berasal dari pokok hutan yang tumbuh meliar. Ia mampu mengeluarkan bunga yang mempunyai aroma yang wangi berwarna kuning dan putih. Ia mempunyai bentuk yang agak rimbun dan matang walaupun hanya berketinggian kira-kira satu meter dari aras tanah. Tumbuhan ini mengeluarkan buah yang mempunyai banyak khasiat termasuk masalah kencing tidak lawas dan memulihkan tenaga wanita yang baru melahirkan anak.


6. Tembusu /fagraea fragrans

Pokok ini juga menghasilkan bunga kecil berwarna putih yang wangi. Ia adalah sejenis pokok hutan terutama sekali di kawasan lembah dan tanah rendah yang juga berbuah. Sesuai dijadikan pokok halaman rumah kampung kerana kerimbunannya. Tembusu boleh membesar sehingga 30 meter tinggi dan membiak menerusi biji buahnya yang disebarkan oleh kelawar.

7. Kesidang /vallaris glabra

Kesidang dikenali sebagai bunga kerak nasi. Bunganya yang berbentuk seolah-olah kerak nasi mempunyai bau yang harum seakan-akan bau daun pandan. Ia merupakan tumbuhan dari keluarga Apocynaceae. Ia juga dikenali dengan nama dipercayai berasal dari kepulauan jawa ini merupakan  sejenis tumbuhan memanjang dengan batangnya yang kecil tapi berkayu dan keras serta mudah lentur. Ia sesuai dengan pergola di taman. Walaupun ia juga boleh sentiasa dipangkas untuk membentuk pohon renek yang merimbun. Kulit batang dan daun kesidang mempunyai getah yang berwarna putih.


8. Melur /jasminum sambar

Pokok bunga melur sering menjadi pilihan untuk ditanam di halaman desa. Pokok ini hidup membesar dalam keadaan menjalar pada pokok-pokok lain atau pada sesuatu bahan yang ia boleh berpaut. Bentuk daun pokok ini nampak ringkas dan mudah, bercabang tiga, sedikit berlilin dan warna hijau tua. Manakala, pada amnya warna bunga ini mudah didapati dalam warna putih, namun spesies yang lain mempunyai bunga yang berwarna kuning. Bunga melur boleh dijumpai dengan lima atau enam kelopak. Bauan bunga ini sangat kuat dan harum.




9. Kemuning /murayya paniculatta

Pokok ini dari famili Rutaceae merupakan pokok yang berbatang pendek. Ia boleh membesar sehingga 7 meter dan sangat rimbun untuk laman anda. Ia sentiasa berbunga dan sangat bermanfaat sebagai tanaman pagar. Bunga kemuning pada mulanya berwarna kehijauan akan bertukar menjadi putih apabila mekar. Kayunya pula mempunyai kualiti yang tinggi dan sesuai dijadikan sarung keris.



10. Mawar /rosa multiflora

Pokok ini ternyata popular lantaran bunga yang sangat harum dan mempunyai ciri sentimental tersendiri. Ia pasti memikat sesiapa sahaja yang menghidunya. Mawar atau ros adalah pokok hiasan yang sering menghiasi laman. Ia mempunyai batang yang berduri dan batang yang lembut. Ia membiak melalui kaedah cantasan. Pokok bunga mawar merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Monday, 16 June 2014

Tanaman Penutup Bumi

Asia Tenggara merupakan antara lokasi di dunia yang mempunyai jenis tanaman penutup bumi yang menarik dan menakjubkan.


TANAMAN penutup bumi sangat berguna memandangkan ia bukan sahaja menarik dipandang, malah berfungsi dengan baik. Selain menggenggam struktur tanah. Tanaman jenis ini juga dapat meminimumkan kadar pertumbuhan rumpai. Kebanyakan tanaman penutup bumi mempunyai struktur batang berkayu yang lembut. Sebahagian daripadanya boleh diklasifikasikan sebagai tumbuhan renek, dan tidak semua tanaman jenis ini mempunyai pertumbuhan menjalar. Ada di antaranya boleh dijadikan pokok memanjat seperti Lantana. Dalam konteks reka bentuk landskap, tanaman penutup bumi, selain daripada rumput ornament (perhiasan), ia sesuai digabungkan bersama tanaman yang lebih tinggi untuk kesan yang cukup menarik.




Portulaca grandiflora @ Rose Moss

Spesies ini merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan. Ia juga dikategorikan sebagai tanaman berair dan mempunyai tumbesaran sehingga 20 cm tinggi sehingga 15 cm. Berbatang lembut dengan warna kemerah-merahan. Daunnya mengandungi bendalir, berwarna hijau terang, dan kelihatan seperti manik. Mempunyai variasi warna bunga seperti kuning, merah, putih, dan jingga. Bukaan bunganya ini kelihatan seperti bunga ros mini yang cukup menawan. Bunganya akan kuncup pada waktu malam dan ketika hari mendung. Memandangkan ia adalah tumbuhan gurun, ia memerlukan cahaya matahari penuh sepanjang hari. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Menarik sekali untuk landskap taman berbatu.




Rhoeo
Mudah ditanam dan mengeluarkan warna daun yang cukup menarik. Permukaan atas daun berwarna hijau pekat dan pada sudut-sudut tertentu ia kelihatan berwarna ungu. Permukaan bawah daun juga berwarna ungu. Gemarkan persekitaran yang redup. Mudah diserang siput. Tanaman secara berkelompok akan menghasilkan taburan yang cukup menarik. Tanaman ini juga dipercayai mempunyai khasiat terutama dalam kalangan masyarakat Cina.




Peperomia @ Radiator Plant

Pokok ini tergolong dalam keluarga pokok lada sulah dan popular sebagai tanaman berpasu. Spesies ini dikenali sebagai Baby Rubber Plant atau Pepperface. Ia mempunyai struktur daun seperti mengandungi bendalir dan berkilat. Daunnya mempunyai dua warna iaitu hijau gelap di bahagian tengah dan hijau cair di bahagian luar. Gemarkan persekitaran yang panas tetapi jika terlalu terdedah kepada terik matahari, daunnya akan melecur. Tanam di sekitar kawasan yang redup atau dilindungi pokok besar dan renek yang lain. Percambahan semula adalah melalui keratan batang. Pembahagian tunas atau menanam sebahagian daun ke dalam pasir sehingga berakar.




Viola elatior @ Violet

Spesies ini tumbuh di kawasan padang yang lembab dan berair di timur Eropah dan barat daya China. Mempunyai daun bergerigi dan berkedut-kedut serta mengeluarkan bunga berwarna biru lilac. Ia gemarkan suasana yang redup. Di Malaysia, bunganya akan bertahan sehingga waktu tengah hari sahaja.




Ophiopogon @ Lilyturf

Tanaman berasal dari timur Asia ini mempunyai bentuk daun seakan-akan daun bawang. Berbunga sepanjang tahun dan mempunyai variasi warna bunga yang menarik seperti putih, putih kekuningan, dan merah jambu terang. Pada peringkat matang, ia akan mengeluarkan buah yang kelihatan seakan-akan buah beri dan sesuai digunakan untuk percambahan semula pokok. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Lilyturf akan kelihatan menarik apabila ditanam secara berkelompok dan hanya menggunakan satu warna bunga sahaja. Kaedah taburan yang sesuai adalah lapan pokok untuk setiap 20 cm pembahagian tanah.
   



Lantana @ Bunga Tahi Ayam

Tanaman ini mempunyai batang yang agak keras dan berduri halus. Daunnya berbentuk bujur, berpermukaan kesat dan kelihatan berurat. Ia mengeluarkan bunga berbentuk trompet secara berjambak. Bunganya akan berubah warna apabila mencapai tempoh matang. Ini menghasilkan variasi warna yang cukup menarik untuk taman. Ketinggian pokok boleh mencecah 1 meter. Sesuai ditanam pada medium berpasir yang bersaliran baik. Untuk pertumbuhan yang sempurna, ia memerlukan cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya empat jam sehari. Terdapat dua spesies yang biasa dilihat iaitu Lantana camara dan Lantana sellowiana. L. camara mempunyai variasi warna seperti krim, kuning dan kuning kemerah-merahan. Apabila matang warna bunga akan berubah kepada merah jambu, merah, jingga atau putih. L. sellowiana pula merupakan jenis menjalar dengan bunga berwarna kundang terang atau merah jambu.




Chlorophytum comosum @ Spider Plant

Mempunyai bentuk daun seperti rumput tetapi mengeluarkan warna yang menarik. Ia juga popular sebagai tanaman gantung. Ia sesuai dijadikan tanaman tutup bumi terutama di bahagian yang redup. Apabila matang ia akan mengeluarkan bunga yang halus berbentuk bintang. Terdapat tiga variasi di mana setiap variasi ditentukan dengan warna dan bentuk daunnya. Ia juga boleh dijadikan tanaman hiasan dalam rumah.





Sansevieria @ Lidah Mertua

Terdapat dua spesies yang berbeza. Satu mempunyai pertumbuhan daun yang tinggi dan satu lagi lebih rendah. Sesuai untuk taman berbatu. Ia mempunyai daun yang keras dan berlendir. Warna daunnya juga menarik dengan variasi warna kuning dan hijau pekat. Sanseviera triasciata menarik sebagai tanaman tutup bumi kerana pertumbuhannya secara berkelompok. Gemarkan persekitaran yang kering dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. 





Hymenocallis littoralis @ Spider Lily

Tanaman ini mengeluarkan bunga yang kelihatan tidak ubah seperti daffodil. Bezanya adalah kelopak bunganya yang lembut dan kelihatan seperti labah-labah. Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Lebih sesuai ditanam di atas tanah berbanding di dalam pasu. Bunganya akan kembang di waktu senja dan mengeluarkan aroma yang sangat wangi.

Friday, 13 June 2014

Ruang santai menarik di taman


Bercakap mengenai soal taman sememangnya tiada hentinya. Selalunya ramai di kalangan kita lebih senang membiarkan taman merimbun dengan tanaman yang menghijau. Apa kata bagi yang baru hendak berjinak-jinak untuk membina taman, memperuntukkan sedikit ruang agar di dalamnya boleh ditempatkan set kerusi taman yang menarik.




Sekadar di pinggiran

Selalunya kediaman teres akan disediakan ruang sebegini dan acapkali apa yang terjadi ia dipenuhi dengan meletak motosikal atau longgokan pokok berpasu. Kita sebenarnya boleh mewujudkan bukan sekadar satu, malah dua ruang sebegitu. Paling penting, saiz kerusi taman anda perlulah bersesuaian dengan ruang. Jika boleh hiasilah ia sebagaimana anda menghias bahagian dalam kediaman.  Jangan lupa aksesori yang indah dan comel mampu membuat sudut yang comel ini menjadi ruang pilihan untuk bersantai seperti membaca, mendengar muzik malah bersendirian. Jika bosan dengan kerusi, anda boleh menukarnya dengan buaian yang selalunya kita lihat diletakkan pada anjung kediaman tradisi Amerika. Pilihan lain dalam mencari ragam hiasan yang lebih indah. Biar pun sekadar di pinggiran namun ia masih mampu mencuri tumpuan yang lain.






Menjamu selera di taman
Ada di kalangan kita tidak gemar menyemakkan ruang taman dengan pelbagai taman. Cukuplah sekadar padang rumput yang menghijau. Cuba cari kawasan yang berhampiran dengan ruang makan (terutama bagi teres unit tepi atau banglo) dan wujudkan ruang makan kedua di situ. Mungkin kawasan ini boleh dijadikan ruang bersarapan atau minum petang. Gaya meja makan yang menggunakan terracotta (tanah liat) dan besi kini merupakan gaya yang sangat digemari. Anda boleh membina aras lantai yang sama tinggi dengan meja makan atau menaikkan ia tinggi sedikit agar menampakkan kelainan dan keistimewaannya. Pilihlah kemasan mana yang anda suka. Sama ada mengenakan polycarbonate (polikarbonat) atau sekadar dilindungi oleh tanaman menjalar atau menutupnya terus dengan bumbung biasa. 







Ranggi dalam ruang sempit
Ada di kalangan kita yang lebih berani menyerlahkan aksesori laman yang mana memberi kepuasan kepada pandangan mata. Bagi kediaman unit tepi misalnya, adakalanya terpaksa bersempadankan tembok penahan yang memberikan rasa sempit pada ruang taman. Jangan risau kerana kita boleh memilih aksesori laman yang comel dan larikan pemandangan anda dengan elemen garisan. Susunan jejak yang memanjang berderetan menjadikan tamantampil lebih bergaya. Sempit itu sudah pasti tetapi sempit yang bergaya dapat melarikan rasa kurang selesa itu lebih dari diri jika sudah melihat komposisi yang menarik. Anda boleh merancang ruang ini dengan meletakkan elemen kejur seperti adakan sudut kolam, santai, tanaman, jejak, dan gantungan. Cuma pastikan setiap elemen ini dibina dalam skala kecil. Jika enggan membina kolam, pancuran juga boleh dijadikan sebagai ganti. Begitu juga dengan kerusi taman. Jika tidak mempunyai tempat, anda boleh menjadikan batu hiasan atau bangku kayu yang dibina pada dinding tembok mahupun yang boleh dilipat. Jadi, anda boleh miliki semua ini walaupun saiznya tidak besar.



Tuesday, 10 June 2014

5 perkara yang perlu diketahui mengenai batuan pemijak

1 membuat laluan batu pemijak
Anda boleh membuat laluan yang cantik menerusi laman atau taman menggunakan batuan pemijak. Bagaimanapun, jangan pula anda terjatuh dengan susunan batuan yang tidak rata dan bergoyang. Bukan sahaja memalukan, malah laman yang cantik akan kurang daya penariknya. Pastikan anda dapatkan peralatan yang betul dan bersedia untuk melakukan sedikit kerja. Pertama sekali, letakkan batu pemijak ditempat yang dikehendaki dan gali tanah sehingga ukuran sebenar diperolehi di mana batu pemijak separas dengan paras tanah.




2 meletakkan personaliti di laman melalui batu pemijak
Laman merupakan kawasan berehat, di mana anda berada dalam dunia sendiri. Bagi menambahkan lagi personaliti dan karektor pada bahagian ini, tidak salah menggambarkannya pada batuan pemijak. Anda boleh membuat dengan tanda ‘selamat datang’. Ini adalah cara untuk menyatakan betapa dekatnya anda dengan alam semula jadi dan kepada tetamu yang datang berkunjung ke laman anda. Apa sahaja mesej boleh diletakkan, asalkan ia bersesuaiandengan jiwa anda. Usah gusar dengan meletakkan hanya kepingan kecil batuan yang melambangkan peribadi anda, tapi aplikasikan pada keseluruhan laman. Ia adalah semudah daripada yang dijangkakan, mulakan operasi mencari batuan yang memenuhi cita rasa dan keperibadian anda sendiri.




3 laluan yang selesa kepada semua
Tujuan meletakkan batuan pemijak adalah mudah, ia mempercepatkan pergerakan anda dari satu tempat ke tempat lain. Idea perletakan batuan pemijak adalah menyenangkan destinasi laluan yang selesa. Masa juga perlu diambil kira. Bertitik tolak dari itu, pastikan batuan pemijak anda selesa untuk laluan dua orang. Sekiranya boleh, tanamkan tumbuhan yang berbunga, di mana bunganya akan berguguran di kawasan laluan batu pemijak yang bakal memberikan sedikit sentuhan lembut pada ruang. Memastikan keselesaan tetamu semasa melalui batuan pemijak membolehkan anda menunjukkan kawasan laman anda dengan lebih lama. 




4 jangan berjalan di atas batuan pemijak!
Satu kesalahan nama terbesar di kawasan laman anda adalah batuan pemijak. Sememangnya ia digunakan sebagaimana reka bentuk laluannya yang indah di kawasan laman tetapi ia kerap digunakan sebagai plak hiasan atau arca tersendiri daripada kegunaannya yang sebenar iaitu sebagai tempat melangkah. Batuan pemijak ini boleh berfungsi sebagai laluan pemijak yang indah tetapi kerana kecantikannya yang tersendiri, ada yang menggunakannya sebagai hasil seni. Ada yang meletakkannya di tempat meletakkan pasu ataupun meja. Anda juga akan pernah melihat ia menghiasi pintu masuk ke laman yang memberi petunjuk personaliti pemiliknya.





5 laluan pemijak yang terbaik tidak terlampau lurus
Cara yang paling cepat untuk sampai ke suatu tempat adalah laluan yang lurus dan ia merupakan perkara yang perlu dielakkan semasa merancang laluan pemijak. Bentukkan laluan dengan sedikit bentuk lengkuk atau selekoh supaya tetamu yang berkunjung berhenti dan mengagumi sebentar keindahan kawasan laman anda. Tetapi pastikan tidak terlampau banyak lengkuk kerana laman anda bukannya satu maze, cuma letakkan di kawasan laman yang menarik. Anda juga boleh menanam tumbuhan tinggi di selekoh supaya kawasan destinasi akhir terlindung. Ini dapat menghasilkan ilham rasa laman yang kecil tampil lebih luas. Hiburkan tetamu anda keluar dan masuk dengan laluan batu pemijak yang menarik!