Sunday, 22 June 2014

KAKTUS

Kaktus, berduri & unik


KAKTUS adalah tumbuhan dalam kategori succulent. Ia juga biasa menjadi tumbuhan hiasan yang unik dan cantik di halaman anda. Kumpulan ini biasanya mempunyai keupayaan menyimpan kapasiti air dalam badan iaitu batang dan daun dan anda tidak perlu menyiramnya selalu. Kaktus kebanyakannya berbentuk silinder dengan permukaan yang tidak rata. Permukaannya juga berlilin untuk mengurangkan kehilangan air dan kelembapan kerana ia memang terdedah kepada cuaca panas. Spesies ini mempunyai duri yang membantunya melindungi diri daripada binatang dan juga memberikannya bentuk badan.

Kaktus terdiri daripada Echinocactus, Mammilaria, Cleistocactus, Opuntia, dan schlumbergera. Ia juga ada kalanya mengalami mutasi yang mengakibatkan pembentukan yang ganjil. Bentuk yang ganjil juga disebabkan oleh faktor genetik tidak normal atau kekurangan nutrien semasa pertumbuhan. Tumbuhan berduri yang unik ini perlu hidup dalam keadaan yang paling kurang kelembapan atau kering. Anda perlu menempatkan kaktus di kawasan kering dan terdedah kepada cahaya matahari manakala bancuhan tanah juga perlu terdiri daripada bahan yang longgar untuk menggalakkan pengeringan yang cepat tatkala terdedah kepada air atau kelembapan.



1.    Mammilaria elongate
Spesies ini mempunyai bentuk badan yang memanjang dan ditumbuhi duri yang berwarna coklat atau keemasan seperti jarum. Bunganya pula berwarna kuning muda hingga merah jambu manakala buahnya pula berwarna merah jambu dan merah. Spesies ini juga dijaga dan popular kerana mampu mengeluarkan bunga ketika masih muda. Sama seperti kebanyakan kaktus yang lain, spesies ini memerlukan bancuhan tanah yang kering dan longgar untuk pertumbuhan dan sebaik-baiknya menggunakan pasu yang berlubang agar lebihan air siraman tidak bertakung.

2.    Bishop cap / Astrophum myriostigma
Kaktus bishop cap adalah jenis kaktus yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm. Kaktus ini seolah-olah mempunyai sirip pada bahagian batangnya. Spesies ini dikatakan berasal dari Texas dan Mexico. Bunganya berwarna kuning dengan hujung kelopak seakan-akan berwarna hitam akan dihasilkan kira-kira 5 tahun selepas ditanam. Proses pengeluaran bunga dari kaktus ini kemudiannya diikuti dengan pengeluaran buah. Bishop cap sesuai ditanam dengan menggunakan tanah yang kering dan mengandungi mineral yang sedikit sahaja. Spesies ini mudah mati jika terlebih siraman. 

3.    Chin cactus / Gymnocalycium saglionis
Spesies ini paling sesuai sebagai permulaan bagi mereka yang baru ingin memulakan tanaman kaktus kerana ia senang membiak. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 30 cm. Spesies ini berwarna hijau dengan duri yang berwarna hitam, putih atau coklat kemerah-merahan. Ia sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai kelembapan yang kurang bagi memastikan pertumbuhan yang sihat. Di samping itu, 1/3 bancuhan tanah juga perlu mengandungi organik dan mudah kering apabila disiram. Untuk menjaga kesuburannya, titikkan makanan kaktus sekali setiap sebulan. Ia adalah spesies yang paling mudah dijaga dan mudah membiak. Bunga yang dihasilkan chin cactus biasanya berwarna putih, krim, kuning, merah, atau merah jambu.

4.    Golden barrel / Echinocactus grusonii
Golden barrel adalah kaktus yang berwarna hijau dan diselaputi duri yang berwarna keemasan yang merupakan ciri estetika yang ada padanya. Ia adalah spesies yang lambat pembesarannya. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai ketinggian satu meter. Ia tidak akan mengeluarkan bunga sehingga mencapai kematangan dan sekurang-kurangnya 40 hingga 60 cm ukuran diameter. Jika anda berniat untuk menanamnya, pastikan anda mempunyai tempat yang terbuka dan terdedah pada sinaran matahari untuk menempatkannya nanti. Kaktus ini memerlukan siraman sekali sekala dan mudah mendapat serangan serangga perosak. Golden barrel mengeluarkan bunga berwarna kuning muda selepas mencapai tahap kematangannya.

5.    Opuntia / Opuntia microdasys
Kaktus spesies ini berbentuk kepingan bujur yang mempunyai permukaan rata. Opuntia paling popular dalam seni landskap terutama sekali opuntia ficus indica yang kurang berduri dan mampu mencapai ketinggian hingga 5 meter. Spesies microdasys mempunyai bulu-bulu yang halus. Microdasys yang matang boleh mencapai ketinggian sehingga 1.8 meter. Untuk menanamnya, pastikan anda menggunakan bancuhan tanah longgar untuk memudahkan air siraman kering. Bunganya berwarna kuning manakala buahnya pula berwarna merah. 


Tip membeli kaktus:
1.    Ketika memilih kaktus pastikan ia dalam keadaan bersih dan mempunyai permukaan kulit yang sihat dan tegang. Pastikan badannya tidak lembik atau mengalami sebarang ‘luka’ pada badannya.
2.    Kaktus tersebut tidak kelihatan pucat atau hijau muda. Jika ini terjadi, ia menunjukkan ia tidak sihat kerana telah terdedah kepada cahaya matahari yang samar sahaja.

3.    Pastikan kaktus bebas dari sebarang serangga perosak seperti mealybugs yang kecil dan berwarna putih, yang melekat pada bahagian batang. 

No comments:

Post a Comment