Monday, 16 June 2014

Tanaman Penutup Bumi

Asia Tenggara merupakan antara lokasi di dunia yang mempunyai jenis tanaman penutup bumi yang menarik dan menakjubkan.


TANAMAN penutup bumi sangat berguna memandangkan ia bukan sahaja menarik dipandang, malah berfungsi dengan baik. Selain menggenggam struktur tanah. Tanaman jenis ini juga dapat meminimumkan kadar pertumbuhan rumpai. Kebanyakan tanaman penutup bumi mempunyai struktur batang berkayu yang lembut. Sebahagian daripadanya boleh diklasifikasikan sebagai tumbuhan renek, dan tidak semua tanaman jenis ini mempunyai pertumbuhan menjalar. Ada di antaranya boleh dijadikan pokok memanjat seperti Lantana. Dalam konteks reka bentuk landskap, tanaman penutup bumi, selain daripada rumput ornament (perhiasan), ia sesuai digabungkan bersama tanaman yang lebih tinggi untuk kesan yang cukup menarik.




Portulaca grandiflora @ Rose Moss

Spesies ini merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan. Ia juga dikategorikan sebagai tanaman berair dan mempunyai tumbesaran sehingga 20 cm tinggi sehingga 15 cm. Berbatang lembut dengan warna kemerah-merahan. Daunnya mengandungi bendalir, berwarna hijau terang, dan kelihatan seperti manik. Mempunyai variasi warna bunga seperti kuning, merah, putih, dan jingga. Bukaan bunganya ini kelihatan seperti bunga ros mini yang cukup menawan. Bunganya akan kuncup pada waktu malam dan ketika hari mendung. Memandangkan ia adalah tumbuhan gurun, ia memerlukan cahaya matahari penuh sepanjang hari. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Menarik sekali untuk landskap taman berbatu.




Rhoeo
Mudah ditanam dan mengeluarkan warna daun yang cukup menarik. Permukaan atas daun berwarna hijau pekat dan pada sudut-sudut tertentu ia kelihatan berwarna ungu. Permukaan bawah daun juga berwarna ungu. Gemarkan persekitaran yang redup. Mudah diserang siput. Tanaman secara berkelompok akan menghasilkan taburan yang cukup menarik. Tanaman ini juga dipercayai mempunyai khasiat terutama dalam kalangan masyarakat Cina.




Peperomia @ Radiator Plant

Pokok ini tergolong dalam keluarga pokok lada sulah dan popular sebagai tanaman berpasu. Spesies ini dikenali sebagai Baby Rubber Plant atau Pepperface. Ia mempunyai struktur daun seperti mengandungi bendalir dan berkilat. Daunnya mempunyai dua warna iaitu hijau gelap di bahagian tengah dan hijau cair di bahagian luar. Gemarkan persekitaran yang panas tetapi jika terlalu terdedah kepada terik matahari, daunnya akan melecur. Tanam di sekitar kawasan yang redup atau dilindungi pokok besar dan renek yang lain. Percambahan semula adalah melalui keratan batang. Pembahagian tunas atau menanam sebahagian daun ke dalam pasir sehingga berakar.




Viola elatior @ Violet

Spesies ini tumbuh di kawasan padang yang lembab dan berair di timur Eropah dan barat daya China. Mempunyai daun bergerigi dan berkedut-kedut serta mengeluarkan bunga berwarna biru lilac. Ia gemarkan suasana yang redup. Di Malaysia, bunganya akan bertahan sehingga waktu tengah hari sahaja.




Ophiopogon @ Lilyturf

Tanaman berasal dari timur Asia ini mempunyai bentuk daun seakan-akan daun bawang. Berbunga sepanjang tahun dan mempunyai variasi warna bunga yang menarik seperti putih, putih kekuningan, dan merah jambu terang. Pada peringkat matang, ia akan mengeluarkan buah yang kelihatan seakan-akan buah beri dan sesuai digunakan untuk percambahan semula pokok. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Lilyturf akan kelihatan menarik apabila ditanam secara berkelompok dan hanya menggunakan satu warna bunga sahaja. Kaedah taburan yang sesuai adalah lapan pokok untuk setiap 20 cm pembahagian tanah.
   



Lantana @ Bunga Tahi Ayam

Tanaman ini mempunyai batang yang agak keras dan berduri halus. Daunnya berbentuk bujur, berpermukaan kesat dan kelihatan berurat. Ia mengeluarkan bunga berbentuk trompet secara berjambak. Bunganya akan berubah warna apabila mencapai tempoh matang. Ini menghasilkan variasi warna yang cukup menarik untuk taman. Ketinggian pokok boleh mencecah 1 meter. Sesuai ditanam pada medium berpasir yang bersaliran baik. Untuk pertumbuhan yang sempurna, ia memerlukan cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya empat jam sehari. Terdapat dua spesies yang biasa dilihat iaitu Lantana camara dan Lantana sellowiana. L. camara mempunyai variasi warna seperti krim, kuning dan kuning kemerah-merahan. Apabila matang warna bunga akan berubah kepada merah jambu, merah, jingga atau putih. L. sellowiana pula merupakan jenis menjalar dengan bunga berwarna kundang terang atau merah jambu.




Chlorophytum comosum @ Spider Plant

Mempunyai bentuk daun seperti rumput tetapi mengeluarkan warna yang menarik. Ia juga popular sebagai tanaman gantung. Ia sesuai dijadikan tanaman tutup bumi terutama di bahagian yang redup. Apabila matang ia akan mengeluarkan bunga yang halus berbentuk bintang. Terdapat tiga variasi di mana setiap variasi ditentukan dengan warna dan bentuk daunnya. Ia juga boleh dijadikan tanaman hiasan dalam rumah.





Sansevieria @ Lidah Mertua

Terdapat dua spesies yang berbeza. Satu mempunyai pertumbuhan daun yang tinggi dan satu lagi lebih rendah. Sesuai untuk taman berbatu. Ia mempunyai daun yang keras dan berlendir. Warna daunnya juga menarik dengan variasi warna kuning dan hijau pekat. Sanseviera triasciata menarik sebagai tanaman tutup bumi kerana pertumbuhannya secara berkelompok. Gemarkan persekitaran yang kering dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. 





Hymenocallis littoralis @ Spider Lily

Tanaman ini mengeluarkan bunga yang kelihatan tidak ubah seperti daffodil. Bezanya adalah kelopak bunganya yang lembut dan kelihatan seperti labah-labah. Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Lebih sesuai ditanam di atas tanah berbanding di dalam pasu. Bunganya akan kembang di waktu senja dan mengeluarkan aroma yang sangat wangi.

No comments:

Post a Comment