Wednesday, 14 December 2016

RUANG DAN WARNA

RUANG DAN WARNA









PERNAHKAH anda merasakan yang anda tidak menggunakan sepenuhnya ruang renovation & interior kediaman yang ada? Contoh, bilik nampak kurang menarik, saiz, elemen binaan atau hiasan unik yang terdapat di dalamnya tidak diserlahkan sebaiknya? Atau mungkin, sesuatu dapat dilakukan agar bilik yang panjang dan sempit tidak kelihatan seperti sebuah koridor, manakala bilik yang bersiling tinggi dan kelam, nampak lebih ceria? Kalaulah dapat kita lakukan sesuatu, alangkah puasnya hati. Sememangnya terdapat reka bentuk dalaman rumah ‘bermasalah’, yang dirasakan kekurangan sesuatu atau tiada karektor. Kehadiran warna, tidak semestinya akan menyediakan sebarang penyelesaian terhadap sebarang dilema hias, tapi kadang-kala ia amat berguna.











BILIK YANG BESAR
Ambil contoh sebuah bilik yang besar dan memanjang. Bagi anda yang mempunyai rekabentuk ruang sebegini, anda cukup bertuah. Begitupun, ruang yang luas boleh kelihatan seolah-olah sebuah terowong yang dalam dan luas serta tidak mengundang. Penggunaan warna terang yang bijak akan ‘mendekatkan’ dinding secara visual dan menjadikannya lebih mesra. Mulakan mengecat dinding dengan warna putih atau pucat sebelum memperkenalkan warna terang di dinding paling hujung sahaja. Ini akan melahirkan satu kesan yang ‘membawa’ dinding tersebut ke hadapan. Pilihlah warna biru terang, hijau, merah jambu, merah atau kuning, atau mana-mana warna terang yang bersesuaian dengan kandungan dalam bilik, iaitu perabot serta pelengkap. Untuk menjadikan ruang yang luas menjadi lebih mengundang, gantunglah juga beberapa bingkai poster yang terang atau hasil seni pada dinding tepi dan hamparlah ambal corak pada lantai untuk ‘mengikat’ semua perabot dan pelengkap bersama.

Teknik sebegini, iaitu mengecat salah satu dinding dalam ruang dengan warna terang juga boleh digunakan untuk membingkai satu pemandangan yang menarik. Pilihan warna ideal adalah warna yang tidak sahaja melengkapi gaya hias dan kandungan dalaman rumah, sama ada berpadanan atau berbeda dengan pemandangan di luar seperti sebuah pemandang landskap yang menghijau atau ke arah panorama persekitaran yang sibuk. Di mana perlu, biarkan hiasan pada tingkap ringkasa agar ia tidak akan mengganggu pandangan ke arah tarikan di luar dengan menggunakan bidai roman atau bergulung.















BILIK YANG KECIL
Jika anda mempunyai ruang yang kelihatan kecil daripada saiz sebenar, kehadiran warna dapat membantu. Bagaimanapun, anda mungkin perlu mengurangkan jumlah perabot yang dimuatkan di dalamnya. Sapulah cat berwarna putih bersih atau pudar pada permukaan dinding, kemudian serlahkan dinding berdekatan pintu masuk dengan satu warna yang terang. Hasil akhir akan membuahkan ruang yang luas dan berangin, dengan kehadiran warna hangat yang akan menghalang ruang atau bilik daripada berasa dingin seolah-olah sebuah klinik.






















‘MERENDAHKAN’ SILING DENGAN WARNA
Kaedah tradisional yang telah dipraktikkan selama ini untuk merendahkan permukaan siling yang tinggi secara visual ialah dengan mengecat permukaannya dengan warna yang lebih gelap daripada warna dinding. Warna terang juga boleh digunakan tapi anda perlu lebih berhati-hati. Daripada menjadikan siling kelihatan lebih rendah, kesan sebaliknya mungkin menyebabkan tumpuan mata lebih kepadanya daripada persekitaran ruang. Cara terbaik ialah dengan mengecat satu jalur mengelilingi perimeter dinding atas dalam saiz bersesuaian dan pada ketinggian siling yang ideal. Kedudukan yang kerap digunakan ialah di paras atas sebarang gambar berbingkai yang ingin digantung. Jalur warna ini boleh juga dibentuk menggunakan cat berwarna kosong, atau lebih dari satu warna, seperti gandingan satu jalur terang dan gelap, iaitu merah dan biru untuk menambah tarikan dan pergerakan dalam ruang.
Sebenarnya, tiada masalah sekiranya anda mempunyai permukaan siling yang tinggi. Sebaliknya, ketinggian tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri. Anda boleh mengecat keseluruhan permukaan dinding dengan satu ada warna atau beberapa warna terang, hingga mencecah bahagian pangkal dinding atau birai hias siling untuk menekankan saiz dan keseimbangannya terhadap keluasan ruang. Ataupun menyapu cat berwarna biru laut untuk menjadikannya kelihatan seolah-olah sebuah langit yang terbentang luas. Anda juga boleh menambah tarikan dengan melukis atau melekatkan beberapa keratan burung atau rama-rama padanya.
Jika anda khuatir langkah yang akan dibuat agak drastik dan kesan akhir akan mendukacitakan seorang yang tidak mempunyai sebarang pengalaman seperti anda, terdapat dua langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri. Pertama, anda boleh mengambil gambar keseluruhan ruang dan warnailah ia dengan menggunakan pen berwarna. Coraklah permukaan gambar mengikut warna yang digemari atau potong beberapa kertas berwarna yang dibentuk berpandukan saiz dinding yang terdapat dalam gambar. Kaedah kedua ialah dengan membeli beberapa cat contoh yang mahu dicuba dan sapulah pada satu kertas putih yang besar untuk diletakkan di beberapa tempat dalam bilik. Jika anda bercadang menggunakan lebih daripada satu warna pada dinding, adalah dinasihatkan untuk menggantung kertas satu persatu atau memastikan terdapat jarak antara gantungan beberapa kertas berwarna. Ini kerana persepsi anda terhadap warna akan dipengaruhi warna terang yang berdekatan dengannya.


No comments:

Post a Comment