Pintu sudah pasti berfungsi sebagai
laluan kepada penghuni keluar dan masuk ke dalam rumah. Malah, pintu juga
merupakan daya penarik bagi setiap kediaman. Daripada harga rendah sehingga
mencecah ribuan ringgit, pintu sememangnya antara elemen yang memberi kekaguman
pertama setiap kali kita ke rumah seseorang. Tetapi, tidak ramai yang sedar
akan nilai yang ada pada elemen ini. Jadi, kami cuba menyelak kekuatan yang ada
pada struktur kediaman ini.
BUKA DAN
TUTUP
Jika dilihat daripada perspektif pembinaan,
pintu selalunya didatangkan dengan saiz tiga kaki lebar kali tujuh kaki tinggi
(3’ x 7’). Daun pintu yang berpanel adalah antara bentuk pintu yang menjadi
pilihan ramai. Pun begitu, terdapat juga pintu yang didatangkan daripada
himpunan kayu pejal. Selalunya digunakan untuk pintu rintangan api yang mampu
bertahan selama setengah hingga enam jam. Di mana harus kita meletakkan pintu
dan jenis apakah yang paling sesuai. Ramai yang melihatnya sebagai benda remeh.
Asal dapat masuk ke rumah sudah cukup. Itu tidak benar. Sekali lagi, selak
pelan rumah anda dan lihat dengan betul di manakah peletakan yang selaras.
Kawasan yang paling ideal untuk meletakkan adalah selari dengan langkah kaki
dari luar. Pastikan juga bukaan pintu tidak selari dengan bahagian lain
kediaman. Maksudnya, jika pintu terselak, orang dari luar hanya akan nampak
dinding belakang dan bukan bahagian dapur atau tandas misalnya. Ini hanya akan
memberi perspektif buruk kepada kediaman anda.
Pintu masuk
seelok-eloknya mempunyai kelebaran paling tidak sekitar tujuh kaki kali enam
kaki (7’ x 6’). Ini bermakna dua panel pintu diperlukan. Tetapi jika keadaan
tidak mengizinkan, anda boleh menggandingkan pintu yang agak kecil sekitar satu
kaki lebar dan sebelahnya dengan pintu bersaiz tiga kaki. Kendatipun, kelebaran
pintu boleh dikurangkan di bahagian yang tidak sibuk seperti tandas. Saiz pintu
di kawasan tandas boleh dikurangkan sekitar dua kaki dan enam inci lebar. Perlu
diingat, untuk kediaman anda jangan terlalu ghairah memilih pintu panel di
kawasan lembap ini. Pintu berpangsi plastik yang boleh dilipat-lipat mampu
menjimatkan ruang kediaman. Jika anda mahu sesuatu yang ringkas, pilih sahaja
pintu gelangsar atau pintu berpangsi yang lebih menjimatkan ruang dan boleh
dilaraskan keluasan bukaan. Ia juga agak murah. Bingkai aluminium selalunya
menjadi pilihan kontraktor dan ia lebih amali serta tahan lasak. Jika anda
mempunyai wang lebih dan mahukan nilai estetika yang lebih tinggi, bingkai
kayu juga boleh dijadikan pilihan. Tetapi, masalah lain pula yang perlu anda
hadapi. Jika ia terdedah pada kelembapan, kayu ini akan kembang dan reput. Cat
dan penyudah lain juga akan luntur. Jika anda tidak mahu menukar pintu atau
mengecatnya kembali, pastikan anda menambah kepingan aluminium di bahagian bawah
pintu agar ia tidak lekas buruk.
Pemasangan gril
adalah alternatif lain untuk menjaga keselamatan rumah. Sejauh manakah langkah
ini berkesan dalam memastikan penghuni lebih selamat? Tidak dapat dinafikan
gril dilihat seperti trend dalam kalangan kita. Mungkin di kediaman tinggi
seperti apartment, rumah pangsa atau kondominium, gril wajar ditambah pada
tingkap. Sudah pasti ia mampu mengelakkan kemalangan atau kejadian bunuh diri.
Selain itu, gril dilihat sebagai nilai estetika kediaman terutama yang berukir
indah. Tetapi, berhati-hati kerana memasang gril juga ada kelemahannya. Banyak
bukti menunjukkan ramai mangsa kebakaran terperangkap dan gagal menyelamatkan
diri kerana gagal membuka gril rumah yang berkunci. Bukan soal tidak tahu di
mana letaknya kunci, tetapi dalam soal ini panik menyebabkan ramai mangsa
hilang pertimbangan. Jadi, adakah memasang gril ini untuk keselamatan atau
sebaliknya? Setiap keputusan yang anda buat, semestinya setelah dibuat
pertimbangan yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment