Saturday, 31 May 2014

Asas Permulaan Sebuah Taman

Kehadirannya adalah asas kepada permulaan sesebuah taman. Kehijauannya menjadi kanvas kepada tanaman berbunga dan pokok rendang yang lain.

HAMPARAN rumput yang kemas mampu membuatkan sebuah taman biasa tampil hebat. Dan, begitulah sebaliknya. Sebuah taman yang indah sekalipun akan kehilangan serinya apabila rumput tidak dijaga. Penggunaan rumput ornament menjadi keperluan penting bagi pembentukan sesebuah taman.


IDEA: selain tanaman secara menyeluruh, rumput ornament juga menarik jika diselang-selikan dengan kepingan batu laluan. Pilihlah batu laluan yang ringkas. Jika mahukan unsur terapi, gunakan kepingan batu laluan yang mempunyai permukaan timbul. Potong kepingan rumput mengikut saiz batu laluan dan susun mengikut kreativiti anda. Idea ini juga menarik untuk laluan kereta menuju ke anjung kediaman.




JENIS-JENIS RUMPUT ORNAMEN


Zoysia matrella @ siglap
Rumput ini mempunyai daun yang keras dan runcing di bahagian hujungnya. Daun yang matang akan mempunyai warna hijau kekelabuan. Sekali imbas, Z.matrella kelihatan tak ubah seperti rumput serangoon. Tetapi, ia mudah dikenal pasti melalui bunganya. Rumput serangoon mempunyai bunga yang bercabang. Rumput Siglap sering ditemui di kawasan berpasir terutama di sekitar pantai. Ini membuatkan ia sesuai ditanam untuk kediaman tepi pantai. 


Zoysia tenuifolia @ Korean Velvet
Bertekstur halus, mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat padat tetapi mempunyai sistem akar yang pendek. Ia mempunyai kadar tumbesaran yang lambat dan perlu ditanam rapat-rapat. Rumput ini sesuai menghiasi taman kediaman yang kecil kerana sifat daunnya yang pendek dan lebat. Daunnya berwarna hijau pekat dan kelihatan cukup menarik dengan penjagaan rapi. 

Pearl Grass
Rumput kacukan yang dihasilkan daripada rumput Buffalo atau Paspalum conjugatum. Mempunyai daun yang lebar dan sedikit pendek berbanding P.conjugatum. Namun, di bahagian yang redup, rumput Pearl akan kembali kelihatan seperti induknya. 


Philippine Grass
Sejenis rumput yang baru diperkenalkan di Malaysia. Ia mempunyai pertumbuhan yang lebat dan cukup menarik untuk taman kediaman. Teksturnya lebih halus dan berwarna hijau muda. 

Tuesday, 27 May 2014

Penambah Seri Taman

Pembaca budiman, ramai di antara kita sering menanam tanaman hiasan saja bagi menghiasi persekitaran laman kediaman. Pengertian taman sebenarnya bukanlah sekadar menanam tumbuhan sahaja. Ia juga memerlukan elemen-elemen kejur sebagai pelengkap atau penambah seri dalam taman. Taman yang dihiasi elemen kejur yang sesuai sudah pasti akan memberi nilai tambahan pada taman dan mengasyikkan kepada sesiapa yang memandang.

ELEMEN-ELEMEN KEJUR
     Elemen-elemen kejur dalam taman biasanya boleh dibuat dalam bentuk semula jadi atau gubahan. Antara elemen kejur yang biasa digunakan dalam taman ialah pagar kayu, laluan pejalan kaki, batu-batu, tempat duduk, tong sampah, lampu-lampu dan sebagainya. Elemen-elemen kejur ini boleh ditempatkan di mana-mana ruang taman sama ada ruang tersebut sempit atau luas mengikut kesesuaian. Penempatan elemen kejur yang mempunyai seni tersendiri atau menyerupai struktur semula jadi akan menambahkan lagi gaya dan keterampilan sesebuah taman di persekitaran rumah.


Beberapa contoh elemen kejur pada taman





1.  Tempat duduk simenfero
Set kerusi dan meja taman yang diperbuat daripada simenfero boleh diletak dalam taman. Bentuk dan ukuran meja yang dipilih adalah bergantung kepada kesesuaian ruang taman.

2. Peti surat
Peti surat boleh diperbuat daripada simenfero dengan bentuk seakan-akan tunggul kayu. Pilihan warna semula jadi kayu akan menampakkan lagi keindahannya di hadapan rumah.

3. Batu-batu
Batu-batu pejal yang berlainan saiz boleh diletakkan bersama-sama dengan taman hiasan sebagai penyeri dan pelengkap sesuatu kelompok tanaman. Di samping itu, batu-batu kecil boleh digunakan sebagai bahan untuk laluan pejalan kaki.

4. Tempayan
Tempayan besar yang berlainan saiz boleh diletakkan bersama-sama dengan tumbuhan landskap di sudut taman. Tempayan ini boleh menjadi daya tarikan dan keunikan dalam taman.

5. Pagar taman
Struktur pagar jenis kayu atau simen yang diperbuat khas sesuai dibina sebagai pembahagi ruang atau penghadang persekitaran taman.

Friday, 23 May 2014

POKOK SEGAR DI BILIK AIR

Kaedah menghias bilik air ini bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut:

1.  Keluasan bilik air: jika ruang bilik air anda begitu sempit seperti terdapat di apartmen, rumah pangsa dan sebagainya, anda perlu gunakan sahaja beberapa pokok hiasan kecil dan comel yang ditanam di dalam pasu atau diletakkan dalam planter yang juga cantik dan unik. Beberapa pokok dalam pasu kecil ini adalah mencukupi untuk diletakkan di atas cistern, atau bekas pam air tandas atau di atas sinki. Untuk menjimatkan ruang yang memang sempit itu anda juga boleh menggunakan pokok jenis menjalar untuk digantung di dinding atau di tepi tingkap. Untuk bilik air yang luas pula seperti di rumah banglo dan sebagainya anda tidak ada masalah daripada segi ruang dan boleh menggunakan banyak idea untuk menghiasnya. Antaranya menggunakan pokok spesimen yang besar ditanam dalam planter dan dialaskan dengan stand (meja) yang cantik dan menarik untuk diletakkan di lantai. Anda juga boleh menggubah pokok hiasan tersebut menjadi satu taman mini yang cantik. Tempat lain yang sesuai dipamerkan pokok hiasan ialah di atas tab mandi atau di hadapan cermin hias. Anda juga boleh meletakkan beberapa pokok yang ditanam dalam pasu kecil disusun dalam sebuah bekas yang besar untuk diletakkan di mana sahaja yang sesuai.

2. Keadaan cahaya dalam bilik air: jika terdapat banyak cahaya, mungkin dinding bilik tersebut dibina daripada kaca, maka anda boleh memilih pelbagai pokok untuk ditanam dan dipamerkan di situ. Tetapi, jika keadaan bilik air agak gelap, maka anda perlu memilih pokok yang sesuai tumbuh di tempat teduh sahaja supaya dapat dipamerkan untuk jangka masa panjang.

3.   Pokok yang sesuai: pokok yang dipilih biarlah jenis yang senang tumbuh dan memerlukan sedikit penjagaan. Ia juga perlu sesuai dengan keadaan persekitarannya dan juga berdaun cantik serta nampak eksklusif. Pokok yang sesuai tumbuh dalam bilik yang agak malap ini adalah spesies dari jenis pokok genus Scindapsus atau sirih puteri, Sansevieria atau lidah mak mertua, Dracaena, Aglaonema, dan Syngonium. Terdapat pelbagai spesies yang sesuai tumbuh di tempat teduh. Untuk pokok jenis berdaun lain atau berbunga, anda boleh menggunakannya untuk diletakkan di situ untuk beberapa hari sahaja kerana ia perlu didedahkan kepada cahaya matahari untuk terus hidup subur.

4. Kaedah penjagaan yang mudah: pilih kaedah penjagaannya yang mudah seperti menggunakan baja slow release fertilizer. Tanam dalam medium tanaman seperti air untuk mengurangkan kekerapan siraman air dan sebagainya. Daun pokok yang besar juga harus dicuci untuk mengekalkan kecantikannya, manakala daun dan ranting yang mati perlu dipotong selalu. Pokok hiasan boleh memainkan peranan yang penting dalam mengubah mood atau suasana dalam bilik air untuk memberi suasana selesa ketika mandi, berjakuzi dan sebagainya. Untuk itu gunakan juga pewangi kesukaan anda untuk mengharumkan bilik tersebut.


Tuesday, 20 May 2014

Info Lampu

TIPS menangani 
MASALAH PENYALAAN LAMPU
DALAM kita menikmati keindahan pencahayaan yang tepat untuk bahagian luar dan dalam kediaman, kita juga perlu mengetahui asas menangani lampu sekiranya berlaku masalah. Tidak dapat dinafikan masalah penyalaan lampu ini sering berlaku di kalangan kita, tidak apa juga jenis lampu.



LAMPU JENIS MENTOL:



1.    Mentol tidak menyala

  • Mentol mungkin longgar dan tidak kena dengan soket.
  • Lidah tembaga di dalam soket tidak berhubung. Betulkan lidah tembaga kembali agar kuasa elektrik boleh dihubung.
  • Mentol terbakar. Tukar yang baharu.
  • Litar atau suis mungkin tidak berfungsi. Periksa kerana ia mungkin boleh mendatangkan bahaya.
     2. Mentol berkelip-kelip
  • Mentol mungkin berada di dalam keadaan longgar dan tidak dihubungkan dengan baik pada soket. Cuba ketatkan kembali mentol.
  • Terdapat wayar yang longgar di dalam soket. Matikan talian elektrik dan cabut lampu. Jalinkan kembali ikatan wayar dengan lebih kemas dan berhati-hati.
  • Tegakkan kembali lidah soket selepas mematikan sistem elektrik.
3.   Seandainya mentol meletup, berlaku lebihan aliran tenaga, atau litar terputus
  • Pastikan tiada litar pintas pada panel utama
  • Jika ada kejutan elektrik pada ‘line cord’, tukar segera.
  • Jika plag tidak berfungsi, ganti dengan yang baharu.
  • Jika soket juga tidak berfungsi, tukarkan dengan segera.
  • Gantikan mentol yang mungkin penyebab utama masalah ini berlaku.



LAMPU KALIMANTANG:





1.   Bunyi dengung atau ‘humming’ yang kuat
Ia bukan satu masalah besar. Kelonggaran pada wayar selalunya menyebabkan dengungan kecil. ‘Ballast’ pada lampu mungkin terbakar atau tidak sesuai pada lampu tersebut.

2.   Bau yang kurang menyenangkan
Kemungkinan tiub lampu mengeluarkan bau selepas penyalaan akan berlaku setelah beberapa lama digunakan. Ia mungkin akan terus mengeluarkan bau selama beberapa hari sebelum tidak boleh digunakan sepenuhnya.

3.   Tiub berkelip tidak menentu
Gangguan mungkin berlaku kerana suhu bilik agak rendah kerana pendingin udara. Jadi tiub lampu memerlukan masa untuk panas dengan secukupnya. Kerlipan yang tidak menentu ini juga adakala disebabkan pin tiub berkarat.

4.   Tidak menyala langsung

Kemungkinan besar tiub tidak dihubungkan dengan baik. Jika tidak, periksa ‘ballast’ atau ‘starter’.

Tips di atas adalah masalah yang selalu terdapat pada lampu biasa. Jika anda mempunyai masalah lain cuba dapatkan tenaga pakar demi keselamatan bersama.

Saturday, 17 May 2014

LAMINA


KEMASUKAN trend lantai lamina bermula sejak 25 tahun yang lalu. Begitupun, di peringkat awal ciptaan lamina dekoratif (menggunakan kaedah tekanan tinggi) di Sweden pada awal abad ke-18 ialah bagi kegunaan permukaan kabinet dapur, meja atau panel dinding. Lantai lamina pula memerlukan teknik pembuatan bermutu tinggi kerana kegunaannya yang lebih lasak. Selain diipijak sehari-hari, lantai turut menampung kelengkapan perabot yang memiliki berat berbeza-beza.

     Cara pemasangan antara lantai lamina dan lantai kayu semula jadi juga berbeza. Pemasangan lantai kayu lebih rumit kerana memerlukan kemahiran individu profesional. Berbanding lantai berlama, ia lebih merupakan teknik D.I.Y. (Do It Yourself) di Eropah. Malah, lebih daripada 90 peratus lantai lamina di Sweden masih menggunakan teknik pasang sendiri ini. Begitupun, teknik pasang sendiri belum lagi meluas kerana kebanyakan syarikat yang mempunyai produk lamina menawarkan perkhidmatan pemasangan oleh pakar mereka sendiri. 
  




    Proses pemasangan lantai lamina juga dikenali sebagai lantai terapung kerana panel-panel lantai tidak perlu digam di atas permukaan lantai asal. Tuan rumah tidak perlu menanggalkan lapisan lantai asal sekiranya mahu menggunakan lantai lamina. Secara praktikalnya, penggunaan lantai lamina bukan sahaja menjimatkan masa malah kewangan. Ini kerana penggunaan gam adalah hanya pada percantuman sisi panel yang bertemu (tidak melibatkan permukaan lantai asal). Dengan ini, ia mudah ditukar ganti sekiranya pemilik sudah bosan dengan lantai lamina lama.

 Malaysia mula menerima produk baru ini pada tahun 1990 dan penggunaannya telah meluas sehingga hari ini. Promosi yang meluas dengan mengadakan ‘road show’ oleh beberapa syarikat terkemuka telah menambahkan lagi pengetahuan masyarakat tentang praktikaliti penggunaan lantai lamina ini. Sehingga hari ini, sebanyak 20 hingga 30 buah syarikat bersaing hebat sesama sendiri bagi menembusi pasaran tempatan. Kebanyakan lantai lamina di pasaran telah melalui proses ‘Direct Pressure Laminate’ (DPL). Proses ‘High Pressure laminate’ (HPL) pula melalui proses lapisan dua kali.

     Lantai lamina boleh dipilih dalam pelbagai jenis dan warna yang berasingan. Mungkin daripada material Beech Blocked, Oak Planked, Cherry Planked, Maple Blocked atau Alder Blocked. Unsur warna yang dilahirkan daripada jenis-jenis material tadi adalah dalam warna kayu terang atau gelap. Penggunaan lantai lamina pada ruang juga sudah meluas. Selain ruang tamu, kamar atau dapur kering, kenapa tidak anda mencuba di bilik air jika anda merancang untuk mengadakan bilik air kering.




Kewujudan teknologi lamina telah menjadikan lantai jenis ini semakin popular. Selain penjagaan yang mudah, pemilik tidak perlu memvarnis lantai menggunakan sebarang produk atau kertas pasir. Bersihkan lantai anda berpandukan cara-cara yang diberikan oleh pengeluar lantai lamina yang diperakui. Sesetengah pengeluar memberikan jaminan 50 tahun ke atas penggunaan produk ini. 





KELEBIHAN LANTAI BERLAMINA
  • Kurang risiko calar jika anda mengalih kelengkapan perabot secara berhati-hati. Biarpun melakukan aktiviti yang terlalu lasak, namun risiko untuk mendapat calar dapat dikurangkan.
  • Mudah diselenggara dengan menggunakan penyedut hampagas atau mop. Jika terdapat kesan kotoran daripada getah atau pewarna minyak anda hanya perlu lap dengan menggunakan pad nilon yang kering.
  • Tidak mengubah warna asal walaupun terdedah kepada cahaya matahari terik. Tidak perlu bimbang permukaan lantai yang terdedah kepada cahaya menjadi pudar berbanding lantai di bawah perabot.
  • Tahap merebak api yang minimum. Jika berlaku kemalangan seperti kebakaran, lantai ini mampu menghalang api merebak dengan cepat.
  • Kekal lama kerana beberapa tahun digunakan masih kelihatan baharu. Sebab itu ia diberi jaminan sehingga 50 tahun.
  • Lantai tidak mengalami perubahan ketara walaupun ketika cuaca panas atau sejuk. Anda tidak perlu bimbang lantai panas kerana ia tahan cuaca.
  • Rokok yang terjatuh tidak akan meninggalkan kesan terbakar. Tidak pun ia boleh dihilangkan dengan menggunakan bahan peluntur atau thinner.

Wednesday, 14 May 2014

Warna & Serat

Kebanyakan pemilik memilih untuk menggunakan bahan kayu kampar kerana seratnya lebih halus. Kesan daripada jenis lantai ini, ruang kelihatan lebih ringkas dan sederhana. Selebihnya, ia tahan daripada risiko kesan goresan. Warna pula terdapat dalam pelbagai pilihan iaitu daripada jenis kumpulan warna terang dan juga kumpulan warna gelap. Melihat pada coraknya pula, tentu ada di antaranya merupakan corak yang menarik dan sesuai dengan kesesuaian pemakaian perabot anda.



Pemasangan lantai kayu: 
1.  Bergantung kepada ukuran lantai. Pemasangan lantai kayu pada permukaan lantai berkeluasan besar memerlukan struktur yang agak kukuh berbanding dengan permukaan lantai kediaman biasa yang agak sempit.
2.  Jika lantai kayu diperbuat daripada bahan keras, gunakan paku untuk memperkuatkan struktur lantai tersebut. Begitu pun, ia bergantung kepada penggunaan ruang.
3.   Bagi lantai kayu yang bersifat lembut, dasar lantai sebaiknya dilapisi bahan lain seperti flexible joint. Ia turut bertujuan agar air daripada bawah tidak menyerap sehingga ke lantai kayu anda.
4.    Lantai kayu jenis keras pula dipasang sebelum bangunan atau kediaman siap dibina kerana proses-proses tambahan yang agak rumit bagi memasangnya.


Sunday, 11 May 2014

Rumput













Sebuah taman yang bersih, rumputnya sentiasa rata dan dijaga akan membuatkan taman bertambah cantik serta menarik perhatian. Walaupun anda memiliki himpunan pokok bunga yang cantik sekali pun, jika rumput tidak dijaga akan hilang nilai estetikanya. Penjagaan rumput adalah lebih daripada sekadar menyapu dan memangkas sahaja. Seperti tanaman berbunga, rumput juga perlu dibaja dan tanah perlu digembur agar ia kelihatan segar dan lebih bermaya.


HAKIKATNYA teknik penjagaan rumput bukanlah semudah yang disangka. Namun, ia tidak bermakna anda terpaksa menggunakan khidmat profesional. Dengan teknik penanaman yang betul, anda akan mendapat kawasan berumput yang baik dan boleh dibanggakan. Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh dipraktikkan.

1. Persediaan – Keadaan tanah berbatu dan keras akan membantutkan pertumbuhan rumput. Tanah perlu digembur dan ketulan batu perlu dikeluarkan. Isi bahagian yang telah dikorek dengan lapisan batu sungai setebal 30 cm. Ini bertujuan menyediakan sistem pengaliran yang baik. Timbus dengan tanah atas setebal 15 cm. Ketebalan ini dapat membantu pertumbuhan akar yang sempurna. 

2. Tanah atas – Tanah atas boleh dihasilkan dengan mencampurkan tanah sedia ada bersama campuran kompos yang sesuai.

3. Taburan biji benih – Sekiranya anda menggunakan biji benih, campurkan ke dalam pasir kering untuk sebaran yang lebih rata.

4. Teknik benam – Teknik ini menggunakan kepingan rumput yang dibeli dari pusat semaian. Pastikan ketinggian daun adalah setinggi 10 cm. Benamkan separuh ke bahagian tanah yang telah disediakan.

5. Penyiraman – Sekiranya cuaca panas, siram setiap hari hingga terdapat pertumbuhan baru. Apabila terdapat pertumbuhan baru, bolehlah beralih kepada penyiraman baja cecair untuk mempercepatkan proses pertumbuhan. Bagi kawasan rumput sedia ada, gunakan sistem sprinkler (pemercik air). 

6. Pembajaan – Gunakan baja cecair Ammonium sulfate untuk menggalakkan pertumbuhan. Lebih kerap anda memangkas rumput, lebih kerap ia perlu dibaja.


Thursday, 8 May 2014

LANTAI SEMPURNA SERLAH KARAKTER KEDIAMAN

Kemasan lantai adalah elemen penting dalam reka bentuk dan hiasan dalaman sesebuah kediaman. Pemilihan jenis material dan bahan selalunya ditentukan berdasarkan faktor jenis dan kualiti kemasan yang digunakan. Antara kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum memilih jenis dan kemasan lantai ialah:
  • Menggunakan ketahanan, terutama pada ruang yang sering digunakan.
  • Kos penggunaan material, pemasangan dan penyelenggaraan yang melibatkan tenaga, masa dan perbelanjaan.
  • Mengambil kira elemen estetik dan praktikal terutama dari aspek seni bina.
  • Keperluan kepada kesan bunyi dan persekitaran.
  • Mampu memberi refleksi atau kesan menarik pada keseluruhan ruang.
  • Memenuhi kod keselamatan yang bersesuaian.


MEMILIH LANTAI YANG SESUAI
Berikut adalah beberapa kriteria yang boleh dijadikan panduan untuk memilih kemasan lantai:

Estetik – bermaksud rekaan yang baik dari segi kepuasan dan ketelusan. Kemasan lantai perlu walaupun tanpa perabot pada interior kediaman.

Harmoni – menjadi latar dengan pelbagai pilihan perabot. Tumpukan pada kombinasi warna-warna natural, tekstur yang menarik dan membentuk corak yang menawan.

Tahan lama – kemasan lantai yang tahan lama selalunya digunakan dalam tempoh atau jangka masa 10 hingga 20 tahun sebelum ditukar. Ujian tehadap jangka masa mendapati penggunaan bahan dan kemasan lantai yang tahan lama adalah daripada pemilihan kemasan lantai yang berkesan.

Persediaan lantai sokongan – menyokong dan meningkatkan kemasan lantai. Lantai jenis tahan lama seperti vinil lebih sesuai digunakan untuk lantai sokongan. Material tahan lama dan kuat seperti batu, jubin dan bata antara jenis kemasan yang sesuai digunakan untuk lantai sokongan yang boleh meningkatkan tahap kemasan lantai.

Kos – pengiraan kos perlulah diberi perhatian. Jumlah kos perlulah bersesuaian dengan jenis dan bentuk bahan yang digunakan. Kos akan meningkat sekiranya anda menggunakan kemasan daripada jenis jubin dan batu yang diketahui tahan lebih lama.

Tahan lama – berkemampuan untuk tahan lebih lama terutama pada kawasan yang menjadi laluan utama. Sebolehnya elakkan penggunaan bahan yang mudah rosak di kawasan tersebut. Penggunaan batu dan jubin adalah pilihan yang terbaik pada laluan atau ruang yang sering digunakan.

Keselamatan – kemasan lantai tanpa tekstur akan mengakibatkan kesan licin, terutama apabila basah. Untuk mengelakkannya, jangan menggunakan bentuk tiga dimensi atau mengubah paten dengan tergesa-gesa untuk tujuan memberi sentuhan pada kemasan lantai yang terbaik. 



LANGKAH PENGIRAAN KOS
Untuk mengetahui jumlah keluasan yang tepat dan betul, pengiraan boleh dilakukan dengan mengambil kira kelebaran dan keseluruhan untuk mendapat jumlah keseluruhan ruang. Pemilihan material untuk kemasan lantai boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kuat, tahan dan ringan.

     Bahan tahan lama seperti batu, kombinasi kayu dan bahan lain serta penggunaan jubin selalunya mengikut jumlah keluasan dan mengikut kos belanjawan.


     Kertas vinil dan permaidani dinding ke dinding juga dikira mengikut jumlah keluasan dan selalunya adalah lebih murah berbanding penggunaan material yang tahan lama.



KELEBIHAN & KEKURANGAN MATERIAL KERAS
Material keras seperti batu-bata, konkrit, batu dan jubin mempunyai kelebihan masing-masing. Antaranya:
1.    Kuat dan tahan lama.
2.    Tidak menyerap dan kedap kepada haba panas dan hujan.
3.    Mudah diselenggarakan dan dibersihkan.
4.    Kekal dengan imej klasik yang mampu bertahan lama.
5.    Bergaya dan boleh diterima untuk kegunaan formal atau tidak formal. Struktur atau unsur dekoratif, tekstur dan menghasilkan reka bentuk interior menarik.
6.    Boleh menyediakan strutur binaan sebagai kemasan lantai yang terbaik.

Namun penggunaan material keras ini juga mempunyai kekurangannya iaitu:
1.    Kos yang tinggi kerana kualitinya lebih tahan lama. Penyediaan lantai sokongan turut menyebabkan kos meningkat.
2.    Ketegaran – bahaya kepada objek sekiranya jatuh pada permukaannya yang kasar.

3.    Kehidupan akustik – penggunaan material keras juga beri efek pada kesan bunyi dan bising. Efek ini selalunya kedengaran dengan hanya menggunakan material sebagai latar untuk beri efek lebih tenang dan lembut.



JENIS-JENIS LANTAI BATU


1. Batu kecil atau batu konkrit
Deskripsi: jumlah (sama ada batuan lembut atau kecil) yang disusun pada permukaan konkrit yang basah akan lebih menyerlah. Sebahagian daripada konkrit ini tidak disiram air agar jumlah atau kuantiti batu lebih menonjol. Ia juga dikenali sebagai batu kecil atau batuan konkrit.
Cara penggunaan: selalunya mengalami proses penurapan pada bahagian dalaman luaran (interior) dan luaran (exterior), sama ada pada lantai kediaman atau bukan kediaman.

Kos: sederhana hingga tinggi.






2. Batu jubin
Deskripsi: menjelaskan bentuk atau jenis material bagi interior dan eksterior dalam proses penurapan seperti batu pasir, batu loh, kuarzit dan lain-lain. Selalunya berbentuk biasa dengan permukaan tidak sekata bagi membentuk kemasan lantai.
Cara penggunaan: boleh digunakan pada kawasan kediaman dan juga bukan kediaman seperti bangunan dan lain-lain. Ianya perlu disapu, vakum dan dilap.

Kos: tinggi.


3. Granit
Deskripsi: sejenis batu kristal keras yang mengandungi sedikit jumlah feldspar, kuarzit, dan lain-lain mineral. Kristal dalam kuantiti yang halus dimampatkan hingga membentuk permukaan yang kasar. Kombinasi warna pula terdiri daripada warna cerah hingga gelap dengan jalinan warna-warna lain seperti kelabu, merah jambu, hijau, coklat dan hitam. 
Cara penggunaan: amat sesuai sebagai kemasan lantai dan untuk lantai  sokongan. Selalunya digunakan pada kediaman mewah.

Kos: tinggi.



4. Batu kapur
Deskripsi: adalah batuan jenis kalsium karbonat bersama jalinan warna natural kelabu cerah. Batuannya nampak seakan-akan batu halus dengan hasil kemasan yang tampak berserabut. 
Cara penggunaan: boleh digunakan pada kediaman dan bukan kediaman untuk jenis lantai yang sering digunakan atau ‘kawasan sesak’.

Kos: tinggi.



5. Marmar dan terazo
Deskripsi: batuan jenis metaforfik dengan permukaan yang kelihatan berbutir dan berkilat seperti kristal. Hadir dalam warna putih dan kombinasi warna lain dengan kesan berjalur. Batu ini menjadi semakin mahal mengikut kualiti iaitu semakin tahan dan kuat batu tersebut. Boleh digilap untuk mendapat kesan kilatan dan permukaannya adalah sejuk.
Cara penggunaan: sesuai sebagai kemasan lantai dan digunakan pada kediaman mewah.

Kos: tinggi.



6. Batu loh atau slate
Deskripsi: sejenis batuan metaforfik, butir-butir halus dan membentuk seakan lapisan pada permukaan yang kasar. Pilihan warna kelabu kehijau-hijauan atau kelabu kemerah-merahan dan juga coklat atau hitam.
Cara penggunaan: sesuai digunakan untuk ruang lantai kediaman.

Kos: sederhana hingga tinggi.



7. Jubin seramik
Deskripsi: halus, dihasilkan daripada tanah liat dan disepuh sebelum melalui proses terakhir menjadi jubin. Jubin daripada jenis mozek agak kecil dan dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut selera dan cita rasa pemilik mengubah dan mengatur bentuk jubin tersebut.
Cara penggunaan: selalunya banyak digunakan pada bangunan-bangunan dan juga sesuai untuk kegunaan pada lantai kediaman. Ia juga sesuai dijadikan elemen dekorasi pada bahagian dinding sesebuah kediaman atau bangunan.

Kos: murah hingga tinggi, namun bergantung bagaimana ia dihias mengikut jumlah dan bentuk yang dihasi.