ada apa dengan LANTAI?
Jika diimbas tetang kediaman teres yang dibina sekitar 1970-an
dan 80-an, sudah pasti ramai yang teringat reka bentuk ringkasnya ketika itu
yang bermain dengan elemen kubisme atau kekotak. Apabila difikirkan kembali,
terasa diri seperti tinggal di dalam akuarium. Pun demikian, kita sememangnya angkat
topi kepada pereka yang bijak bermain dengan aras lantai dan kemasan sesuai.
Lantai, struktur bangunan yang terpinggir kerana letaknya di kaki.
Ramai yang tidak sedar, lantai memainkan peranan penting dalam membangkitkan
satu rasa terhadap ruang. Pelan lantai adalah paling penting sebelum kita
mengetahui bagaimana bentuk kediaman kelak. Faktor peruntukan dan trend,
menjadikan pelan lantai kini agak membosankan. Ada juga yang merasakan permainan
aras lantai ini leceh, menyusahkan pergerakan dan tidak memberi pandangan
menarik.
KESERASIAN KEMASAN
Secara teknikalnya, lantai konkrit yang dibina
perlu lengkap dengan pemasangan rasuk konkrit. Ini untuk menampung struktur
dinding, lapisan kalis lembap untuk mengelakkan serapan air, lapisan tanah
keras, tetulang bagi binaan bertingkat dan adunan konkrit yang betul. Kemasan
hanya hadir selepas itu. Bosan? Sudah pasti. Jika dibiarkan lantai konkrit
begitu sahaja ia kurang membangkitkan nilai estetika kepada ruang. Kebanyakan
antara kita lebih selesa menggunakan jubin biasa. Selain harga yang berpatutan
ia dikatakan selamat untuk dipadankan di mana sahaja. Bukan hanya warna yang
menarik, jubin kini didatangkan dengan corak yang pelbagai. Kita sudah pasti
teringatkan kemewahan kemasan terazo yang pernah menjadi trend suatu ketika
dahulu. Malah, ada sesetengah kediaman mempunyai kemasan in-situ terrazzo. Dalam kita puas menjamu mata dengan kilaun
kemasan seperti ini, cuba perhatikan kekemasan kerja pemasangan kemasan ini.
Ini penting agar kediaman tidak kelihatan canggung ataupun seperti kata orang
‘seperti tak sudah’! Motivasikan diri sendiri agar menjadi sedikit cerewet.
Jika lantai anda hodoh anda juga yang rugi. Pastikan kontraktor yang bakal
memasang jubin tahu di mana patut memulakan kerja atau bahagian mana perlu
diberi perhatian. Cara yang baik untuk memulakan kerja pemasangan jubin adalah
dengan mengira panjang ruang. Bahagikan dengan saiz kemasan yang dipilih. Lihat
hasilnya, adakah ia sama rata di seluruh kawasan atau terdapat sisa di sana
sini. Sama ada anda bermula dari tengah atau hujung, itu bergantung pada hasil
pengiraan yang anda capai. Malah, jika anda mahukan sedikit corak, pemilihan
lokasi bagi corak tersebut perlu dirancang agar tidak ditutup oleh perabot
kelak. Ini hanya merugikan.
LOKASI IDEAL
Setiap daripada kemasan yang ada mempunyai
kelebihan dan kelemahan. Di kawasan lembap seperti dapur mahupun pinggir kamar
mandi, elakkan daripada menggunakan material seperti parket, papan jalur
mahupun jubin licin berkilat. Bagi kemasan seperti ini, ia boleh mengelupas dan
tercabut dengan mudah. Jubin mungkin boleh bertahan tetapi siapa tahu ada di
antara kaum keluarga anda yang akan hilang nyawa dek jubin licin ini. Kini
banyak syarikat jubin yang peka akan perkara yang dialami oleh kita. Kemasan
jubin seringkali didatangkan khas dengan tiga kualiti permukaan. Licin,
sederhana dan kusam. Jadi, jika anda inginkan kemasan seragam (sebenarnya ia
sangat membosankan) anda bolehlah bermain dengan tekstur. Rekaan lantai anda
pasti lebih hebat dan ada kesan terang dan kelamnya. Terracotta dan slate
adalah pilihan terbaik.
PERMAINAN RUANG
Salah satu fungsi kemasan juga memberi
kelegaan kepada ruang selain sifatnya yang indah. Ruang yang luas
sebenarnya boleh menjadi bosan jika anda tidak bijak mencerna kemasan. Corak
berulang memperlihatkan citarasa anda rendah dan kurang pendedahan terhadap
seni hias. Pemilihan marmar berwarna dan motif di tengah ruang sudah dianggap
terlalu biasa. Namun, jika anda memberi sedikit perbezaan karakter kemasan
seperti papan jalur yang berbeza warna, gabungan konkrit Shanghai dan marmar
hitam langkawi, slate dan jubin licin
berkilat, malah blok gelas dengan kepingan besi tahan karat, pasti ruang bakal
memukau. Perabot ringkas dan sedikit penyudah mewah sudah memadai. Sebagai
contoh, bina bingkai daripada jubin licin berkilat dan di dalamnya atau jubin
kusam bak potongan berlian. Di antara pertemuan jubin 1’X1’ tersebut selitkan
marmar licin potongan kecil dalam 4”X4” besar. Inilah yang dikatakan usaha
sedikit, kesannya besar. Jika ruang sekangkang kera, elakkan memilih rona mewah
seperti margenta, biru merak mahupun hijau baldu. Ini hanya akan melahirkan
gaya yang tidak keruan, sempit dan berat.
KUASA KEMASAN
Bagi papan jalur, jika mahukan kelainan,
gabungkan permainan warna gelap dan terang. Corak yang kreatif memberikan anda
satu ilusi artistik pada ruang. Larian kayu juga perlu diambil kira. Paling
ideal aturkan larian kayu selari dengan hala pintu masuk. Ini memberi kesan
permainan pandangan seakan-akan ia menarik kita ke dalam ruang. Tambahan pula,
cara ini lebih menjimatkan. Teknik pembinaan pelantar juga perlu diambil kira
oleh pemilik. Kerja kayu yang sempurna tidak akan menyebabkan pelantar kita
bergoyang apatah lagi mengeluarkan bunyi yang kurang enak. Rancang untuk apa
pelantar itu dibina. Jika untuk kawasan bersantai, pastikan sistem litar dan
alatan elektronik dipasang kemas agar tidak kelihatan hodoh. Sekali lagi papan
jalur dikatakan paling sesuai. Hiasan kecil seperti rumput palsu, permainan
cahaya kalimantang dan batu kerikil sudah pasti mampu menghidupkan susana
seperti Zen. Pencahayaan bukan setakat untuk menerangi kawasan tetapi memberi
perbezaan antara aras dengan lebih nyata. Jika anda terserempak dengan kemasan
jubin yang beratus tahun lamanya ataupun sekitar era 60-an, jangan sesekali
memusnahkannya. Hargai dan cuba kekalkan sebaik mungkin. Sejarah penggunaan
kemasan lantai seperti jubin di tanah air kita mempunyai cerita menarik. Tangga
Melaka adalah antara struktur yang bertanggungjawab menaikkan martabat kemasan
lantai kepada kancah seni bina tanah air. Kelak jika ditanya ada apa dengan
lantai, pasti kita sudah bersedia untuk menerangkannya.
No comments:
Post a Comment