tanaman dalam rumah
Kehadiran tanaman dalam rumah atau indoor plants semakin menjadi pilihan dalam menghias ruang untuk tampil lebih segar dan menawan. Gabungan pelbagai saiz, warna dan bentuk mampu menjadi elemen dekorasi yang membantu membangkitkan mood serta mengundang selesa kepada pemilik kediaman.
KEBANYAKAN tumbuhan atau tanaman dalam rumah ini memerlukan penjagaan rapi. Beberapa faktor perlu diberi perhatian bagi memastikan tanaman ini terus segar dan boleh bertahan lama. Bagi tanaman dalam rumah, elemen pencahayaan dan kuantiti udara serta penggunaan bahan seperti baja dan tanah yang sesuai juga mendorong tanaman ini untuk kelihatan segar dan sihat. Cara penanaman serta tip penjagaan berikut dapat membantu anda untuk memahami dan melakukan sendiri penjagaan tanaman ini.
1. fluffy raffles boston fern (paku-pakis)
Deskripsi: spesies paku-pakis Boston ini berasal dari Afrika. Tumbuhan ini boleh membesar sehingga mencecah 60 inci dengan kelebaran pada pelepah daun. Namun pelepah ini mudah kering dan gugur jika tidak betul penjagaannya.
Tip penjagaan: untuk tumbesaran yang sempurna, paku-pakis Boston perlu diletakkan di tempat yang cerah. Tetapi elakkan daripada terkena cahaya terik untuk mengelakkan pokok daripada melecur. Penggunaan baja asli dan subur dapat membantu proses pembesaran tumbuhan ini.
2. rana bromeliad
Deskripsi: kacukan daripada spesies Guzmania ini menghasilkan bunga berwarna terang dengan saiz besar pada bahagian atas atau puncak, berserta daun panjang berwarna hijau segar. Ia mampu membesar sehingga mencapai ketinggian 30 inci.
Tip penjagaan: keadaan lembap memberikan suhu yang lebih baik untuk tumbuhan ini membesar selain memerlukan penjagaan rapi. Anda hanya perlu menggunakan kain lembap untuk membersihkan permukaan daun yang kotor agar sentiasa kelihatan segar dan sihat. Kuantiti air juga tidak boleh berlebihan dan hanya perlu disiram setiap minggu di bahagian tengah tumbuhan.
3. marble queen pothos
Deskripsi: ia memiliki daun berbentuk hati berwarna hijau kekuningan . Berbatang lembut seakan warna cerah. Untuk mendapatkan batang yang segar dan sihat, penggunaan baja yang sesuai diberi perhatian.
Tip penjagaan: ia serasi dengan keadaan persekitaran dalam rumah. Namun untuk memudahkan proses pembiakan dan pembesaran, pendedahan pada ruang yang cerah dapat membantu selain memastikan keadaan tanah yang sentiasa lembap.
4. mosaic plant
Deskripsi: tumbuhan ini boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 24 inci. Kehadirannya mampu menyerikan ruang untuk tampil lebih menarik. Nama ‘mosaic’ diambil sempena ira halus membentuk garisan dengan jalinan urat pada bahagian daun yang kelihatan seolah-olah kemerah-merahan. Ia menghasilkan permukaan daun yang menarik.
Tip penjagaan: penggunaan pasu bersaiz kecil adalah tepat unuk tumbuhan bersaiz kecil ini dan pembiakan boleh berlaku dengan menggunting bahagian daun untuk ditanam atau boleh juga dikacukkan.
5. birds nest fern
Deskripsi: berasal dari New Zealand, hutan tropika Asia dan Polynesia. Tumbuhan ini serasi berada pada kawasan yang menerima pencahayaan baik.
Tip penjagaan: penggunaan baja asli dalam keadaan lembap juga turut membantu tumbuhan ini hidup segar dan sihat.
6. tropic snow dumbcane
Deskripsi: keadaan fizikal dengan daun lebar bercorak hijau putih menjadikan spesies ini menarik dan popular. Ia tumbuh atau membesar secara padat sehingga mencapai ketinggian 36 inci.
Tip penjagaan: tidak boleh berada pada keadaan cuaca panas terik dan memerlukan keadaan tanah yang lembap untuk terus kelihatan segar.
7. emerald gem
Deskripsi: dapat dikenal pasti dengan daun berbentuk hati berwarna hijau gelap. Spesies ini berasal dari kepulauan Jawa, Indonesia. Spesies ini membiak dengan padat dan merupakan antara spesies tumbuhan yang subur.
Tip penjagaan: biasan cahaya sudah mencukupi untuk tumbuhan ini melakukan proses semula jadinya. Akar adalah bahagian yang paling sensitif kerana proses pembesarannya bermula daripada akar yang sihat.
8. butterfly palm
Deskripsi: tumbuhan ini berasal dari Madagascar. Ia memiliki daun berbentuk tirus dan kurus serta mudah berangin. Ia mampu membesar sehingga mencapai saiz 40 inci.
Tip penjagaan: untuk terus segar, la memerlukan pencahayaan yang baik, tetapi bukan pada kedudukan panas terik. Sesekali daunnya perlukan penjagaan dengan membersihkan bahagian hujung daun sekiranya kotor dan berdebu.
No comments:
Post a Comment