Wednesday, 9 April 2014

IDEA MENGHIAS TINGKAP & PINTU


Tingkap dan pintu bukan berfungsi sebagai laluan udara, cahaya dan objek semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai satu elemen penting struktur kediaman. Tingkap dan pintu mempunyai pengaruh tersendiri dalam usaha anda menampilkan kediaman yang indah. Apabila menyebut tentang tingkap dan pintu, bukan sahaja reka bentuknya yang perlu dititikberatkan, malah kemasan akhirnya juga perlukan perhatian. 

01 HIASAN DAUN PINTU
Daun pintu akan menjadi bertambah menarik apabila aksesori kecil yang bersesuaian diletak atau dilekap kemas pada permukaannya. Sekurang-kurangnya hiasan kecil ini menjadi daya penarik utama pada daun pintu yang kebiasaannya dibiarkan kosong.
 

02 PILIHAN KEPALA LANGSIR
Terdapat pelbagai pilihan kepala langsir atau velance. Pilihan kepala langsir bergantung kepada konsep hiasan kediaman. Sebaik-baiknya ukuran kepala langsir biarlah seimbang dengan ketinggian tingkap atau pintu.
03 SELARAS
Walau apa keadaan sekali pun, konsep menghias kediaman terutama kemasan bagi pintu dan tingkap, pilihan fabrik untuk langsir seharusnya selaras. Jangan ambil mudah perkara ini. Walaupun nampak mudah, jika gagal memenuhi syarat, tetamu yang berkunjung pasti akan mentertawakan kecuaian anda.
 

04 GABUNGAN TRADISIONAL DAN MODEN
Kebiasaannya kita akan melihat kekisi tingkap di rumah tradisional sebagai langkah keselamatan. Bagaimanapun untuk memberi sedikit sentuhan tradisional pada kediaman bereka bentuk moden, tingkap tinggi berkekisi menjadi penyudah kemasan tingkap yang boleh dipertimbangkan. Bingkai kayu nyatoh untuk tingkap dan pintu membantu melembutkan penampilan ruang yang dikuasai konkrit dan lantai marmar. 
05 PANEL PINTU BERTEKSTUR
Daun pintu kayu mempunyai kelebihan untuk membentuk tekstur sama ada pada keseluruhan atau separuh daunnya sahaja. Daun pintu boleh dibentuk seakan-akan bidai, bagaimanapun reka bentuk begini adalah statik. Barisan panel kaca kecil di sekeliling pintu merupakan kaedah hiasan tambahan.

06 PERABOT BINAAN DALAM
Mengisi kekosongan ruang berhampiran tingkap kaca luas, bangku binaan dalam menempatkan perhiasan kecil seperti patung dan kusyen merupakan idea hias yang baik. Sekurang-kurangnya penggunaan ruang telah digunakan semaksimum mungkin.
07 BIDAI
Kemasan tingkap tidak terhad pada pilihan langsir semata-mata. Bidai boleh laras juga merupakan pilihan terbaik bagi mengawal kemasukan cahaya. Anda yang berjiwa ringkas dan mengutamakan kekemasan penampilan ruang. Bidai boleh memenuhi hasrat tersebut.
08 GRIL BERHIAS
Untuk pilihan konsep klasik, gril hiasan daripada besi boleh menambah seri penampilan tingkap. Bagaimanpun sebaiknya, lenturan gril besi tidak terlalu sarat bagi mengelakkan tingkap ‘tenggelam’ dengan kehadirannya.
 

09 PINTU SELANDAR BERKACA
Bagi menjimatkan sesuatu ruang terutama di sudut yang agak terhad keluasannya, pintu selandar dengan kemasan kaca perlu dipertimbangkan. Bahan kaca berperanan membantu mengurangkan kesan sempit ruang. Selain itu, material kaca merealisasikan konsep moden yang diketengahkan.
10 CERIA
Serlahkan kreativiti anda dengan lukisan-lukisan kecil pada setiap bingkai kaca yang terdapat pada pintu ataupun tingkap. Warna-warna pilihan seharusnyabersesuaian dengan skemawarna keseluruhan ruang. Kehadiran kaca bermotif ini bakal menjadi tumpuan tetamu yang datang.

11 LENGKAP MELENGKAPI
Kebiasaannya skema warna sesuatu ruang banyak dipengaruhi fabrik, sama ada perabot upholsteri ataupun permaidani. Percubaan melatari pintu lipat di ruang tamu dengan menggunakan dua helaian fabrik nipis dan tebal senada merupakan idea yang baik. Pemilihan perabot dan kusyen hiasan yang sesuai banyak membantu. Kaedah ini merupakan cara selamat bagi anda yang masih buntu mencari warna sesuai untuk langsir pintu dan tingkap.
12 UKIRAN DAN GRIL BERHIAS
Paparan pintu tidak terhad reka bentuknya. Daun pintu yang besar bertambah menarik apabila terdapat ukiran-ukiran ringkas yang membentuk tekstur. Penambahan tingkap kecil di sisi pintu utama dengan penggunaan gril hiasan yang serupa dengan tingkap-tingkap yang terdapat di kediaman, merupakan kesinambungan konsep yang selamat.

No comments:

Post a Comment