Wednesday, 23 April 2014

belai diri di Ruang Privasi

Penampilan bilik air semakin diberi penekanan. Perubahan budaya dan cara hidup sedikit sebanyak turut membantu memberi dimensi baru kepada fungsi ruang ini. Bilik air yang bersih dan dihias indah memberikan kepuasan dan kesegaran untuk sepanjang hari.
BAYANGKAN anda memasuki bilik air yang berangin, luas dan lapang. Terasa segar dan tenang. Apatah lagi apabila kaki melangkah pada permukaan lantai yang bersih. Kombinasi warna dan tekstur menambah keserasian pelengkap ruang yang selesa. Cuba berdiri di depan cermin. Perhatikan keseluruhan bilik air anda dari segenap ruang. Adakah anda berpuas hati dengan apa yang anda lihat? Sekiranya anda kurang berpuas hati, ikuti beberapa ide dan tip berikut untuk membantu anda mendapatkan bilik air yang diidamkan. Bukankah kepuasan yang anda inginkan?

praktikal. praktikal. praktikal...
Gabungan dan pemasangan beberapa cermin atau satu cermin besar pada dinding dapat mewujudkan ilusi ruang kelihatan lebih lapang. Namun, bagi ruang yang terhad, di mana dan berapa banyak cermin boleh dimuatkan? Gunakan aplikasi bijak. Bina berapa banyak kabinet yang boleh mengikut keluasan ruang dinding. Ini bukan pembaziran. Degan pembinaan rak sebegini, anda tidak lagi memerlukan lebihan ruang untuk storan. Ganti pintu kabinet dengan panel cermin. Sekali gus anda telah menjimatkan banyak ruang. Lebih elok sekiranya, kedudukan kabinet diletakkan bertentang tingkap. Sekarang cermin tadi boleh digunakan untuk refleksi cahaya, terutama di waktu siang. Kini, anda telah menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di waktu siang.


bermandi hujan
Masih kah anda ingat, pengalaman bermain hujan sewaktu kecil dahulu. Hidupkan semula memori indah itu di bilik air anda. Gunakan kepingan kayu yang telah diketam untuk membentuk lantai dan dinding di ruang ini, bagi anda yang mahukan suasana terbuka yang kelihatan lebih natural, biarkan kawasan ini tidak berbumbung. Tetapi fikirkan kegunaan dawai kawat yang kasar untuk tujuan keselamatan. Alternatif lain adalah dengan menggunakan zink lut cahaya atau lut sinar. Penggunaan bahan ini akan memastikan ruang ini sentiasa kering. Anda juga memerlukan pengaliran udara yang baik bagi memastikan ruang ini tidak berbau dan berkulat akibat kesan lembapan. Hiasi ruang ini dengan tanaman menjalar atau penutup bumi yang gemarkan lembapan. Susun tanaman dengan teliti agar nampak seperti semula jadi. Pilihlah pancuran yang mempunyai semburan air kasar dan kedudukannya perlulah berada betul-betul di atas kepala.




storan atau panel hiasan?
Sekiranya anda memiliki ruang mandi yang luas, banyak perkara menarik yang boleh anda lakukan. Selain memasang kabinet, tebuk dinding untuk mendapatkan ruang bukaan yang kemas. Anda boleh menyusun semua keperluan mandi di sini. Pasangkan beberapa panel rak daripada kaca untuk efek terapung. Tetapi, sekiranya kedudukan sink basuh tangan terletak berhadapan muka pintu kamar mandi, jadikan ruang ini sebagai ruang mempamerkan koleksi aksesori anda. Jadi, tiada lagi pemandangan yang ‘mencacatkan’ setiap kali pintu dikuak. Berikan kemasan warna yang kontras atau lebih gelap atau lebih pucat untuk pelbagai efek visual seperti mendalam dan sebagainya. Pemasangan kabinet di dalam tebukan ini juga membuatkan kamar mandi anda kelihatan lebih kemas.


menerangi ruang
Pencahayaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan mood ruang. Bagi kamar mandi elegan, anda memerlukan penataan cahaya yang memberikan limpahan cahaya yang menghangatkan. Manakala untuk kamar mandi romantik, limpahan cahaya semula jadi dan percikan cahaya lilin sudah memadai. Apa jua konsep yang anda inginkan, pastikan kedudukan lampu dan cermin adalah sama. Lampu halogen memancarkan dua kali ganda kecerahan cahaya dan ketahanan berbanding mentol biasa. Untuk penjimatan tenaga, anda memerlukan transformer bagi menukar arusnya kepada voltan rendah. Tetapi anda juga memerlukan lebih ruang bagi pemasangan lampu halogen. Ruang di antara lampu-lampu ini berperanan menyerap haba panas yang dihasilkan. Dapatkan khidmat profesional untuk menentukan jarak atau ruang yang diperlukan.


dulu, kini dan selamanya
Jubin dan mozek merupakan antara kemasan yang paling kerap digunakan dalam bilik air. Selain mengikut konsep ruang dan kebersihan, ia turut berfungsi untuk mengelak permukaan dinding atau lantai daripada mengalami kerosakan akibat serapan air. Pilihlah jenis jubin atau mozek yang sesuai bagi mengelakkan kecederaan ketika berada di bilik mandi. Jubin atau mozek yang dipilh haruslah mempunyai permukaan anti licin. 
Jubin atau mozek turut berfungsi untuk memberi definisi sebagai ruang. Bagi bilik air berkonsep terbuka seperti ini, lantai kayu digunakan pada bahagian kering, manakala mozek pula digunakan pada bahagian basah. Mozek atau jubin bersepuh warna gelap akan menghasilkan kesan dramatik dengan penataan cahaya yang betul. Mozek juga lebih sesuai digunakan untuk bilik air yang keciluntuk mendapatkan impak visual yang lebih menarik.


selesa
Kedudukan mangkuk tandas juga perlu diberi perhatian. Ia bertujuan untuk mengelakkan rasa kurang selesa ketika menggunakannya. Tempatkan mangkuk tandas pada bahagian yang mempunyai keluasan selesa antara posisi mangkuk tandas dan dinding yang bertentangan dengannya. Bukaan pada ruang ini juga penting untuk memastikan pengguna merasa lebih selesa apabila berada di bilik mandi. 

syurga dunia 
Inginkan spa sendiri di kediaman? Anda tidak perlu melakukan renovation semata-mata untuk mendapatkan kelainan. Sediakan ruang untuk berbaring bagi tujuan urutan. Gunakan pangkin kayu sekiranya anda tidak ingin mengeluarkan belanja yang besar. Alaskan dengan kusyen untuk keselesaan. Pasangkan lilin aromatik atau minyak aroma terapi atau setanggi untuk mendapatkan mood spa sebenar. Taburan bunga-bungaan di dalam tub mandi juga kelihatan menarik. Sekiranya anda tidak memiliki tub, gunakan empayan yang besar sebagai tempat takungan air. Gunakan ceduk yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Jangan lupa alunan muzik yang lembut seperti gamelan dan sebagainya. Selepas itu, ... tiada lagi kunjungan ke spa!


panorama indah
Kehadiran tingkap pada kamar mandi adalah perlu untuk pengaliran udara. Selain memberi penataan cahaya semula jadi yang baik, ia juga membenarkan udara segar masuk. Terdapat berbagai jenis tingkap yang boleh anda pilih. Tingkap juga berfungsi membingkaikan pemandangan di luar. Letakkan tub mandi bersebelahan dengan elemen seni bina ini. Kedudukan strategik begini memberi anda peluang menikmati panorama indah tatkala berendam di tub.







terapi warna
Sentuhan warna-warna yang serasi dan lembut turut membantu menjadikan bilik air anda lebih ceria dan tidak hambar. Sama ada pada permukaan dinding, pilihan jubin atau aksesori di samping penggunaan warna yang digandingkan bersama corak dan tekstur membolehkan anda menghasilkan ide hiasan dengan mudah. Namun anda perlu berhati-hati dengan pemilihan warna kerana kehadiran warna-warna kontras akan mengecilkan lagi saiz bilik air anda.









telus
Penggunaan bahan kaca sama ada pada bahagian dinding yang bertindak sebagai sempadan atau pembahagi ruang antara bilik air dan sink, mampu memberi penampilan kemas, bersih dan lebih luas. Pastikan bahan kaca yang digunakan adalah daripada jenis yang tahan hentakan atau ‘tempered glass’. Langkah ini sangat perlu agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Penggunaan bahan ini juga sesuai untuk kamar mandi berkonsep moden. Anda juga boleh memilih kaca kabut sebagai pembahagi ruang di antara tub dan sink. Tapi pastikan anda menggunakan warna yang terang di bahagian sink. Biasan warna yang lebih lembut akan terhasil apabila dilihat melalui kaca kabut tadi. Ini akan memberikan terapi warna yang baik tatkala anda berendam. Jangan lupa lilin aroma terapi anda!





kehangatan sumber semula jadi
kemasan kayu sesuai bagi anda yang menggemari konsep kontemporari dan elegan. Pilihan warna gelap memberikan mood penuh sensual terutama di kamar mandi. Pilihlah kayu yang tahan lembapan untuk kepuasan yang berpanjangan. Untuk bentuk kemasan yang sama, anda boleh menggunakan permukaan lamina dengan pelbagai ira kayu yang menarik. Bagi menambah tarikan terhadap ruang ini, gandingan batu semula jadi seperti granit atau marmar pasti menarik.


‘knock-knock’ ...
Ruang kamar mandi di bilik utama perlu diberi keutamaan. Hiasi ia sebaik mungkin dan selaras dengan konsep keseluruhan kediaman. Kedudukan pintu juga penting. Pastikan apabila pintu dikuak, saluran paip tidak jelas kelihatan. Lakukan sesuatu agar ia tidak keterlaluan hingga boleh merencatkan pemandangan.pastikan juga tiada laluan lain. Ini akan memastikan anda mendapat privasi yang diingini secara total. Pelbagaikan pilihan pintu anda. Sekiranya anda menggemari konsep romantik, cuba gunakan bidai manik sahaja. Untuk kelihatan kemas dan ultra-moden, beralihlah kepada pintu gelangsar.

No comments:

Post a Comment