Friday, 25 April 2014

“rumah pintar” aplikasi sistem & teknologi

Kediaman pintar adalah kediaman yang mempunyai sistem berteknologi dengan pengaplikasian secara automatik. Sistem ini diklasifikasikan sebagai pusat kawalan bersepadu yang mampu bertindak dengan cepat secara automatik. Sama ada menggunakan alat kawalan jauh atau sistem pemprograman melalui telefon bimbit. Ini bermakna kediaman tidak lagi perlu dipenuhi dengan pelbagai jenis suis tetapi hanya melibatkan pengurusan sistem berteknologi terkini yang terancang.


BAGI sesetengah individu, penggunaan sistem ini hanya bertujuan menjamin keselamatan, memudahkan kerja serta menjimatkan masa dan tenaga. Namun ia terpulang kepada individu itu sendiri dalam menentukan kepentingan penggunaan teknologi terkini ini untuk menguruskan kehidupan seharian agar hidup lebih sempurna dan selesa.



MEMILIH & MENENTUKAN KEPERLUAN

    Reka bentuk dalaman ‘rumah pintar’ memerlukan perancangan teliti. Ia bukan sahaja tertumpu pada rekaan dan bentuk malahan kelengkapan atau keperluan juga perlu diberi perhatian. Antara tiga perkara utama yang perlu diketahui adalah: 

1. Infrastruktur asas
Teknologi asas atau dasar perancangan yang akan digunakan dalam menyediakan keselesaan dan sistem keselamatan di kediaman.

2. Konteks kegunaan
Reka bentuk dan struktur sesebuah kediaman akan menentukan tahap teknologi yang diingini. Manakala pilihan terbaik untuk penghantaran media komunikasi yang sesuai terpulang kepada bagaimana cara dan alat kelengkapan itu dipasang. Namun bagi kediaman yang baru dibina, sistem pemasangan yang sesuai perlu disahkan atau menjalani ujian terlebih dahulu.

3. Menentukan fungsi
Infrastruktur dan kelengkapan asas boleh diminimumkan dengan sistem peranti tambahan bagi menetukan keperluan dan kehendak pemilik kediaman. Ini termasuklah semasa memasang kelengkapan seluruh sistem.
     Daripada ketiga-tiga faktor utama ini, pemilik kediaman dapat menilai atau membuat keputusan tentang pemilihan infrastruktur asas yang sesuai. Pilihan pelaksanaan cara berkomunikasi turut mempengaruhi pilihan pemilik dalam memasang kelengkapan untuk memudahkan pelaksanaan sistem. Perbezaan jenis atau kategori rumah turut mempengaruhi cara pemasangan tersebut.
     Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang pengguna dan kehendak mereka, boleh menjadi faktor penting dalam membuat keputusan. Ini kerana kos pemasangan sistem peranti kawalan adalah lebih mahal. Adalah lebih baik sekiranya pemilik melihat terlebih dahulu sistem asas peranti dan fungsi yang sesuai untuk digunakan. Keputusan pengguna dalam mengenal pasti pemilihan sistem turut menjadi asas kepada cara pemasangan sistem dilaksanakan. Antaranya:
  • Mengutamakan kepentingan alam - Pengguna juga perlu mengutamakan alam semula jadi dalam mengaplikasikan sistem rumah pintar. Pengguna perlu memahami kehendak sendiri serta perkara-perkara asas penggunaan sistem peranti agar tidak mengganggu keseluruhan sistem alam.
  • Sistem keselamatan - Bahagian yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Tumpuan adalah pada bahagian pintu masuk utama dan pintu keluar atau pada bahagian belakang kediaman. Pengguna juga boleh mengambil alternatif dengan menyediakan sistem sokongan melalui penggunaan bateri sekiranya berlaku kadar lebihan kuasa (volt) pada alat kawalan sistem keselamatan tersebut.


BAGAIMANA IA BERFUNGSI

     Penggunaan sistem komputer secara sistematik dapat membenarkan variasi atau kepelbagaian operasi berkomunikasi berjalan dengan lancar. Antara rangkaian sistem komunikasi tersebut ialah: 

i. Sistem kawalan telefon atau alat perhubungan
Sistem ini berfungsi seperti alat kawalan jauh tetapi menggunakan sistem mesin pesanan suara. Operasi seperti pendingin hawa, kawalan bidai, sistem pencahayaan dan keselamatan boleh diprogramkan menggunakan sistem ini.

ii. Keselamatan bersepadu
Sistem ini mengawal keselamatan kediaman menggunakan pengesan pergerakan, serta membuka pintu pagar dan pintu rumah, serta memasang lampu pada ruang utama secara automatik.

iii. Sistem keselamatan
Antaranya, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kebocoran gas, sistem pengesan mampu bertindak mengenal pasti dan mematikan dengan cepat melalui suis utama.


KELEBIHAN KAWALAN AUTOMATIK
1. Keselamatan - Dengan sistem kawalan automatik yang terkini, kediaman lebih selamat dan penuh pengawasan pada setiap penjuru ruang. Bayangkan anda menerima e-mel atau pesanan suara dari rumah sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan. 

2. Hiburan di rumah - Anda hanya perlu menekan punat/butang untuk pilihan rancangan, kemudian alat kawalan automatik atau sistem kawalan akan melakukannya.

3. Perhubungan / Komunikasi - Dengan adanya sistem kawalan automatik di rumah, panggilan yang diterima dapat dirujuk semula. Kawalan peti pesanan suara akan berfungsi sebagai sistem automatik yang bertindak menjawab panggilan ketika anda tiada di rumah.

4. Sistem rangkaian - alat kawalan automatik boleh dipelbagaikan cara perhubungannya, kini dengan adanya sistem rangkaian tanpa wayar anda boleh berhubung terus dengan rangkaian audio, video tanpa menggunakan kawalan wayar dan mampu bertindak untuk pengurusan yang lebih mudah. Bayangkan anda mampu mengawal suhu bilik tidur dengan hanya menentukan kadar suhu pada alat kawalan jauh tanpa perlu berada dalam bilik tersebut. Atau, bayangkan sekiranya sistem pemanas pada siling bilik mandi berfungsi secara automatik lima minit sebelum jam loceng anda berbunyi. Oleh itu ketika anda masuk, anda akan terasa panas dan selesa.

No comments:

Post a Comment