Saturday, 19 April 2014

Rona Romantis dari taman

Mungkin anda pernah mendengar kisah minyak wangi yang menjadikan diri anda bagai sekuntum bunga indah. Rangsangan yang penuh nikmat dengan aroma harum mendarat di hidung akan terus merangsang pemikiran. Keharuman bunga acapkali membawa imaginasi yang indah dan romantis. Justeru nilai indah itulah pesona warna flora yang lembut menjadi inspirasi pereka. 

yang mana satu
Dari biru, ke ungu ke merah samar ke putih kekuningan dan putih kebiruan, aura warna ini acapkali menyentuh jiwa kita lantaran kelembutan fitrahnya. Bagaikan satu magis, rona sebegini mampu melembutkan jiwa atau membelai sanubari. Berbeza dengan warna lazat, rona haruman romantis ini lebih mengusik jiwa ibarat bunyian indah dari tali kecapi yang dipetik. 
Jangan kaget apabila dikatakan warna flora selalunya agak lebam, dan agak mewah dan ada juga sederhana lembut. Selalunya anda akan lihat rona sebegini bukan pada cat tetapi kemasan lain seperti fabrik baldu, kertas dinding, aksesori malah batu hiasan. Rona ini agak unik kerana ia seeloknya perlu berdiri dengan sendirinya. Jadi jika anda mahu ia menjadi feature wall atau gandingan dengan rona neutral demi membangkitkan seri ruang, inilah pilihan warna anda.

antara feminin & elegan
Jangan salah sangka, rona romantis ini bukanlah rona yang terlalu pastel tetapi ia sedap dipandang dan memberi satu kepuasan apabila melihatnya persis sejambak bunga. Ia lebih menyerlahkan sifat feminin dan elegan. Jadi bagi mereka yang mahukan aura unik pada ruang, ilham flora mampu menyerlahkan nilai feminin anda. Justeru adalah elok anda memilih corak yang agak feminin bagi kemasan lembut. Bunga, ukiran ala tumbuh-tumbuhan dan kerawang dilihat sangat cantik dengan irama romantis seperti ini. Bila bercakap soal warna sebegini juga, selalunya konsep yang sesuai adalah klasik atau moden klasik mahupun dramatik. Liuk lentuk ukiran atau kerja kayu perabot lebih hebat jika dipalitkan dengan rona sebegini. Kelembutan ukiran dan sebagainya ini mampu menyerlahkan keindahan sebenar perabot tersebut. Malah jika berani kenakan sedikit palitan emas dalam gaya bercapuk & capuk ala sentuhan antik yang kini mula menjadi perhatian.

Gandingan serasi
Adakala dalam kita mencetuskan suasana romantis ala urban, ringkas itu adalah lebih menarik. Gaya ala minimalism atau rustik sungguh memikat hati. Ini adalah kerana biar warna yang menyerlahkan ruang kediaman anda. Bersama corak atau tekstur atau sekadar palitan polos kediaman. Palitan cat yang bertompok-tompok atau mengalir bagai lukisan abstrak mampu menjelmakan ragam gaya ala kota metropolitan yang menggamit memori anda terhadap cerita romantik seperti Pretty Woman, Flash Dance, Sleepless In Seattle dan sebagainya.
  Manakala bagi ragam yang lebih klasik, anda lebih hebat bermandikan rona ini dengan megahnya. Kerawang dan ukiran mewah akan digandingkan dengan rona ini dalam gaya yang paling hebat. Baik di kertas dinding, fabrik dan lukisan, warna dalam aura romantis ini menjadikan gaya hidup anda tampil begitu gah dan menggoda. Jambangan bunga yang merimbun sememangnya menjadi satu kemestian dengan limpahan rona semula jadi bersama haruman yang mengasyikkan. Simbahan sinar semula jadi juga sangat penting dan biasan cahaya yang menerobos ke dalam ruang perlu disukat agar tidak terlalu terang dan juga tidak terlalu malap. Selalunya fabrik seperti sheer akan digunakan bagi mendapatkan kesan ini. Begitu juga dengan renda yang disulam mewah. Jangan lupa semburan dalaman yang harum semerbak. Ia merangsangkan minda kita agar lebih dapat merasakan aura rona romantis ini dengan lebih nikmat.

No comments:

Post a Comment