Tuesday, 15 April 2014

Penyeri RUANG TAMU

Ruang tamu kediaman adalah ruang utama yang ditemui tetamu ketika bertandang. Oleh itu, ruang ini perlu dihias secantik mungkin supaya boleh menggambarkan imej yang baik terhadap pemilik rumah. Kebiasaannya, ruang ini akan dihiasi gubahan bunga tiruan yang kurang bermaya atau bunga hidup yang mungkin akan layu selepas beberapa hari. Mengapa tidak menghiasnya dengan pokok hiasan hidup. Ia lebih tahan lama, nampak lebih ‘hidup’ dan segar dengan dedaun hijau dan bunga pelbagai warna.
Pemilihan pokok: biasanya di ruang tamu kediaman hanya terdapat sedikit sahaja cahaya matahari. Oleh itu, hanya pokok hiasan dedaun sahaja yang paling sesuai untuk dipamerkan di ruang ini. Terdapat banyak spesies pokok hiasan yang berdaun cantik dan mampu hidup subur dalam keadaan teduh. Di antaranya ialah kebanyakkan spesies daripada genus Dracaena. Cotohnya buluh Jepun, sansevieria atau Lidah Emak Mertua, Syngonium, Aglaonema dan Scindapsus atau sirih puteri, iaitu sejenis pokok menjalar. Selain pokok berdaun daripadagenus di atas, pokok berdaun jenis lain atau pokok berbunga boleh juga digunakan. Tetapi pokok ini perlu dikeluarkan mungkin lima hari sekali untuk didedahkan kepada cahaya matahari. Contohnya, pokok paku-pakismseperti Paku Sarang Burung. Pokok herba seperti Aloe Vera juga boleh digunakan. Jika ingin menggunakan pokok berbunga anda boleh menggunakan pelbagai jenis orkid dan sebagainya.

KAEDAH HIASAN: Pokok-pokok yang dipilih bolehlah ditanam dan dipamerkan dalam beberapa gaya seperti berikut:

  • Secara solo dalam ‘planter’ sebagai pokok spesimen dan dapat disesuaikan dengan keadaan sekelilingnya

  • Untuk penampilan yang lebih eksklusif mengapa tidak menyusunnya menjadi satu gubahan yang cantik terutama jika diletakkan dalam bekas atau ‘planter’ menarik atau disusunkan di atas lantai ruang. Pokok-pokok ini boleh ditanam dalam medium tanah atau untuk pokok tertentu. Ia juga boleh ditanam terus dalam medium air iaitu secara hidroponik. Anda juga boleh menanam pokok hiasan dalam beg plastik politina. Untuk itu, pasu atau beg plastik yang ingin digunakan dalam membuat gubahan ini hendaklah bersaiz sederhana. Ini bertujuan memudahkan kerja menyusun pasu atau beg plastik tersebut dalam bekas gubahan yang dipilih.

  • Untuk nampak lebih eksklusif, mengapa tidak mencuba idea menghias dinding ruang tamu tersebut dengan pokok hiasan yang digantung atau dilekatkan pada dinding. Ranting pokok hiasan yang dipilih dibiarkan berjurai ke bawah menutupi ‘planter’. Bahagian bawah daun pokok dapat diserlahkan dengan menggunakan kaedah pameran seperti ini.




Aksesori hiasan: gunakan bekas cantik seperti bakul anyaman sebagai bekas gubahan atau pameran. Pokok boleh ditanam dalam pasu atau beg plastik masing-masing dan hanya disusun di dalam bekas gubahan. Bekas gubahan hendaklah dialas dengan sekeping plastik supaya tidak terkena air siraman yang berlebihan. Sebagai alternatifnya, anda juga boleh menggunakan plastik berwarna hitam yang digunakan untuk mengisi sampah bagi mengalas bekas tersebut. Selain dipamerkan dalam ’planter’ cantik seperti di atas, anda juga boleh membuat satu susunan pokok di atas lantai seperti di sudut ruang dan sebagainya. Jika mahu, aksesori seperti air terjun dan kolam buatan serta pagar tiruan boleh juga digunakan.

 

TIPS PENJAGAAN

I.       Perlu diingat, pokok yang dipamerkan di ruang ini perlu juga sentiasa dijaga. Ini termasuklah     membaja, memangkas daun atau ranting yang mati, menyiram air dan sebagainya.
II.    Selain siraman air ke dalam medium tanaman, pokok juga akan kekal segar dan subur jika disembur air ke bahagian daunnya.
III.    Pokok perlu juga dikeluarkan untuk didedahkan kepada cahaya matahari seminggu sekali. Ini boleh dilakukan dengan menukar ganti pokok yang lama dengan yang baru setiap minggu supaya sentiasa kelihatan segar, subur dan menarik.
IV.      Bagi pokok berdaun besar dan licin, daunnya perlulah dibersihkan dari habuk dan kotoran dengan menggunakan tuala atau tisu lembap. Seterusnya untuk penampilan yang lebih bergaya, sapukan cecair pengilat daun atau ‘leaf gloss’ untuk memberi sinar dan tampak lebih bermaya dan segar. Selamat mencuba dan semoga berjaya.

 

2 comments:

  1. Saya tak minat letak pokok dalam rumah.
    Tapi saya nak ruang tamu rumah saya berseri.
    Boleh tolong bagi pendapat atau cadangan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rajin-rajinlah menyapu dan mengemas rumah!! Kalau boleh mop rumah kerap sikit, seminggu dua kali paling kurang. Setiap kali hari perayaan tukar warna cat rumah anda. Kalau nak renovate rumah, boleh hubungi kami.
      Semoga berjaya :-)

      Delete