Tuesday, 29 April 2014

Lantai

ada apa dengan LANTAI?
Jika diimbas tetang kediaman teres yang dibina sekitar 1970-an dan 80-an, sudah pasti ramai yang teringat reka bentuk ringkasnya ketika itu yang bermain dengan elemen kubisme atau kekotak. Apabila difikirkan kembali, terasa diri seperti tinggal di dalam akuarium. Pun demikian, kita sememangnya angkat topi kepada pereka yang bijak bermain dengan aras lantai dan kemasan sesuai.

Lantai, struktur bangunan yang terpinggir kerana letaknya di kaki. Ramai yang tidak sedar, lantai memainkan peranan penting dalam membangkitkan satu rasa terhadap ruang. Pelan lantai adalah paling penting sebelum kita mengetahui bagaimana bentuk kediaman kelak. Faktor peruntukan dan trend, menjadikan pelan lantai kini agak membosankan. Ada juga yang merasakan permainan aras lantai ini leceh, menyusahkan pergerakan dan tidak memberi pandangan menarik. 


KESERASIAN KEMASAN
     Secara teknikalnya, lantai konkrit yang dibina perlu lengkap dengan pemasangan rasuk konkrit. Ini untuk menampung struktur dinding, lapisan kalis lembap untuk mengelakkan serapan air, lapisan tanah keras, tetulang bagi binaan bertingkat dan adunan konkrit yang betul. Kemasan hanya hadir selepas itu. Bosan? Sudah pasti. Jika dibiarkan lantai konkrit begitu sahaja ia kurang membangkitkan nilai estetika kepada ruang. Kebanyakan antara kita lebih selesa menggunakan jubin biasa. Selain harga yang berpatutan ia dikatakan selamat untuk dipadankan di mana sahaja. Bukan hanya warna yang menarik, jubin kini didatangkan dengan corak yang pelbagai. Kita sudah pasti teringatkan kemewahan kemasan terazo yang pernah menjadi trend suatu ketika dahulu. Malah, ada sesetengah kediaman mempunyai kemasan in-situ terrazzo. Dalam kita puas menjamu mata dengan kilaun kemasan seperti ini, cuba perhatikan kekemasan kerja pemasangan kemasan ini. Ini penting agar kediaman tidak kelihatan canggung ataupun seperti kata orang ‘seperti tak sudah’! Motivasikan diri sendiri agar menjadi sedikit cerewet. Jika lantai anda hodoh anda juga yang rugi. Pastikan kontraktor yang bakal memasang jubin tahu di mana patut memulakan kerja atau bahagian mana perlu diberi perhatian. Cara yang baik untuk memulakan kerja pemasangan jubin adalah dengan mengira panjang ruang. Bahagikan dengan saiz kemasan yang dipilih. Lihat hasilnya, adakah ia sama rata di seluruh kawasan atau terdapat sisa di sana sini. Sama ada anda bermula dari tengah atau hujung, itu bergantung pada hasil pengiraan yang anda capai. Malah, jika anda mahukan sedikit corak, pemilihan lokasi bagi corak tersebut perlu dirancang agar tidak ditutup oleh perabot kelak. Ini hanya merugikan. 

LOKASI IDEAL
     Setiap daripada kemasan yang ada mempunyai kelebihan dan kelemahan. Di kawasan lembap seperti dapur mahupun pinggir kamar mandi, elakkan daripada menggunakan material seperti parket, papan jalur mahupun jubin licin berkilat. Bagi kemasan seperti ini, ia boleh mengelupas dan tercabut dengan mudah. Jubin mungkin boleh bertahan tetapi siapa tahu ada di antara kaum keluarga anda yang akan hilang nyawa dek jubin licin ini. Kini banyak syarikat jubin yang peka akan perkara yang dialami oleh kita. Kemasan jubin seringkali didatangkan khas dengan tiga kualiti permukaan. Licin, sederhana dan kusam. Jadi, jika anda inginkan kemasan seragam (sebenarnya ia sangat membosankan) anda bolehlah bermain dengan tekstur. Rekaan lantai anda pasti lebih hebat dan ada kesan terang dan kelamnya. Terracotta dan slate adalah pilihan terbaik.

PERMAINAN RUANG
     Salah satu fungsi kemasan juga memberi kelegaan kepada ruang selain sifatnya yang indah.  Ruang yang luas sebenarnya boleh menjadi bosan jika anda tidak bijak mencerna kemasan. Corak berulang memperlihatkan citarasa anda rendah dan kurang pendedahan terhadap seni hias. Pemilihan marmar berwarna dan motif di tengah ruang sudah dianggap terlalu biasa. Namun, jika anda memberi sedikit perbezaan karakter kemasan seperti papan jalur yang berbeza warna, gabungan konkrit Shanghai dan marmar hitam langkawi, slate dan jubin licin berkilat, malah blok gelas dengan kepingan besi tahan karat, pasti ruang bakal memukau. Perabot ringkas dan sedikit penyudah mewah sudah memadai. Sebagai contoh, bina bingkai daripada jubin licin berkilat dan di dalamnya atau jubin kusam bak potongan berlian. Di antara pertemuan jubin 1’X1’ tersebut selitkan marmar licin potongan kecil dalam 4”X4” besar. Inilah yang dikatakan usaha sedikit, kesannya besar. Jika ruang sekangkang kera, elakkan memilih rona mewah seperti margenta, biru merak mahupun hijau baldu. Ini hanya akan melahirkan gaya yang tidak keruan, sempit dan berat.

KUASA KEMASAN
     Bagi papan jalur, jika mahukan kelainan, gabungkan permainan warna gelap dan terang. Corak yang kreatif memberikan anda satu ilusi artistik pada ruang. Larian kayu juga perlu diambil kira. Paling ideal aturkan larian kayu selari dengan hala pintu masuk. Ini memberi kesan permainan pandangan seakan-akan ia menarik kita ke dalam ruang. Tambahan pula, cara ini lebih menjimatkan. Teknik pembinaan pelantar juga perlu diambil kira oleh pemilik. Kerja kayu yang sempurna tidak akan menyebabkan pelantar kita bergoyang apatah lagi mengeluarkan bunyi yang kurang enak. Rancang untuk apa pelantar itu dibina. Jika untuk kawasan bersantai, pastikan sistem litar dan alatan elektronik dipasang kemas agar tidak kelihatan hodoh. Sekali lagi papan jalur dikatakan paling sesuai. Hiasan kecil seperti rumput palsu, permainan cahaya kalimantang dan batu kerikil sudah pasti mampu menghidupkan susana seperti Zen. Pencahayaan bukan setakat untuk menerangi kawasan tetapi memberi perbezaan antara aras dengan lebih nyata. Jika anda terserempak dengan kemasan jubin yang beratus tahun lamanya ataupun sekitar era 60-an, jangan sesekali memusnahkannya. Hargai dan cuba kekalkan sebaik mungkin. Sejarah penggunaan kemasan lantai seperti jubin di tanah air kita mempunyai cerita menarik. Tangga Melaka adalah antara struktur yang bertanggungjawab menaikkan martabat kemasan lantai kepada kancah seni bina tanah air. Kelak jika ditanya ada apa dengan lantai, pasti kita sudah bersedia untuk menerangkannya.  



Friday, 25 April 2014

“rumah pintar” aplikasi sistem & teknologi

Kediaman pintar adalah kediaman yang mempunyai sistem berteknologi dengan pengaplikasian secara automatik. Sistem ini diklasifikasikan sebagai pusat kawalan bersepadu yang mampu bertindak dengan cepat secara automatik. Sama ada menggunakan alat kawalan jauh atau sistem pemprograman melalui telefon bimbit. Ini bermakna kediaman tidak lagi perlu dipenuhi dengan pelbagai jenis suis tetapi hanya melibatkan pengurusan sistem berteknologi terkini yang terancang.


BAGI sesetengah individu, penggunaan sistem ini hanya bertujuan menjamin keselamatan, memudahkan kerja serta menjimatkan masa dan tenaga. Namun ia terpulang kepada individu itu sendiri dalam menentukan kepentingan penggunaan teknologi terkini ini untuk menguruskan kehidupan seharian agar hidup lebih sempurna dan selesa.



MEMILIH & MENENTUKAN KEPERLUAN

    Reka bentuk dalaman ‘rumah pintar’ memerlukan perancangan teliti. Ia bukan sahaja tertumpu pada rekaan dan bentuk malahan kelengkapan atau keperluan juga perlu diberi perhatian. Antara tiga perkara utama yang perlu diketahui adalah: 

1. Infrastruktur asas
Teknologi asas atau dasar perancangan yang akan digunakan dalam menyediakan keselesaan dan sistem keselamatan di kediaman.

2. Konteks kegunaan
Reka bentuk dan struktur sesebuah kediaman akan menentukan tahap teknologi yang diingini. Manakala pilihan terbaik untuk penghantaran media komunikasi yang sesuai terpulang kepada bagaimana cara dan alat kelengkapan itu dipasang. Namun bagi kediaman yang baru dibina, sistem pemasangan yang sesuai perlu disahkan atau menjalani ujian terlebih dahulu.

3. Menentukan fungsi
Infrastruktur dan kelengkapan asas boleh diminimumkan dengan sistem peranti tambahan bagi menetukan keperluan dan kehendak pemilik kediaman. Ini termasuklah semasa memasang kelengkapan seluruh sistem.
     Daripada ketiga-tiga faktor utama ini, pemilik kediaman dapat menilai atau membuat keputusan tentang pemilihan infrastruktur asas yang sesuai. Pilihan pelaksanaan cara berkomunikasi turut mempengaruhi pilihan pemilik dalam memasang kelengkapan untuk memudahkan pelaksanaan sistem. Perbezaan jenis atau kategori rumah turut mempengaruhi cara pemasangan tersebut.
     Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang pengguna dan kehendak mereka, boleh menjadi faktor penting dalam membuat keputusan. Ini kerana kos pemasangan sistem peranti kawalan adalah lebih mahal. Adalah lebih baik sekiranya pemilik melihat terlebih dahulu sistem asas peranti dan fungsi yang sesuai untuk digunakan. Keputusan pengguna dalam mengenal pasti pemilihan sistem turut menjadi asas kepada cara pemasangan sistem dilaksanakan. Antaranya:
  • Mengutamakan kepentingan alam - Pengguna juga perlu mengutamakan alam semula jadi dalam mengaplikasikan sistem rumah pintar. Pengguna perlu memahami kehendak sendiri serta perkara-perkara asas penggunaan sistem peranti agar tidak mengganggu keseluruhan sistem alam.
  • Sistem keselamatan - Bahagian yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Tumpuan adalah pada bahagian pintu masuk utama dan pintu keluar atau pada bahagian belakang kediaman. Pengguna juga boleh mengambil alternatif dengan menyediakan sistem sokongan melalui penggunaan bateri sekiranya berlaku kadar lebihan kuasa (volt) pada alat kawalan sistem keselamatan tersebut.


BAGAIMANA IA BERFUNGSI

     Penggunaan sistem komputer secara sistematik dapat membenarkan variasi atau kepelbagaian operasi berkomunikasi berjalan dengan lancar. Antara rangkaian sistem komunikasi tersebut ialah: 

i. Sistem kawalan telefon atau alat perhubungan
Sistem ini berfungsi seperti alat kawalan jauh tetapi menggunakan sistem mesin pesanan suara. Operasi seperti pendingin hawa, kawalan bidai, sistem pencahayaan dan keselamatan boleh diprogramkan menggunakan sistem ini.

ii. Keselamatan bersepadu
Sistem ini mengawal keselamatan kediaman menggunakan pengesan pergerakan, serta membuka pintu pagar dan pintu rumah, serta memasang lampu pada ruang utama secara automatik.

iii. Sistem keselamatan
Antaranya, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kebocoran gas, sistem pengesan mampu bertindak mengenal pasti dan mematikan dengan cepat melalui suis utama.


KELEBIHAN KAWALAN AUTOMATIK
1. Keselamatan - Dengan sistem kawalan automatik yang terkini, kediaman lebih selamat dan penuh pengawasan pada setiap penjuru ruang. Bayangkan anda menerima e-mel atau pesanan suara dari rumah sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan. 

2. Hiburan di rumah - Anda hanya perlu menekan punat/butang untuk pilihan rancangan, kemudian alat kawalan automatik atau sistem kawalan akan melakukannya.

3. Perhubungan / Komunikasi - Dengan adanya sistem kawalan automatik di rumah, panggilan yang diterima dapat dirujuk semula. Kawalan peti pesanan suara akan berfungsi sebagai sistem automatik yang bertindak menjawab panggilan ketika anda tiada di rumah.

4. Sistem rangkaian - alat kawalan automatik boleh dipelbagaikan cara perhubungannya, kini dengan adanya sistem rangkaian tanpa wayar anda boleh berhubung terus dengan rangkaian audio, video tanpa menggunakan kawalan wayar dan mampu bertindak untuk pengurusan yang lebih mudah. Bayangkan anda mampu mengawal suhu bilik tidur dengan hanya menentukan kadar suhu pada alat kawalan jauh tanpa perlu berada dalam bilik tersebut. Atau, bayangkan sekiranya sistem pemanas pada siling bilik mandi berfungsi secara automatik lima minit sebelum jam loceng anda berbunyi. Oleh itu ketika anda masuk, anda akan terasa panas dan selesa.

Wednesday, 23 April 2014

belai diri di Ruang Privasi

Penampilan bilik air semakin diberi penekanan. Perubahan budaya dan cara hidup sedikit sebanyak turut membantu memberi dimensi baru kepada fungsi ruang ini. Bilik air yang bersih dan dihias indah memberikan kepuasan dan kesegaran untuk sepanjang hari.
BAYANGKAN anda memasuki bilik air yang berangin, luas dan lapang. Terasa segar dan tenang. Apatah lagi apabila kaki melangkah pada permukaan lantai yang bersih. Kombinasi warna dan tekstur menambah keserasian pelengkap ruang yang selesa. Cuba berdiri di depan cermin. Perhatikan keseluruhan bilik air anda dari segenap ruang. Adakah anda berpuas hati dengan apa yang anda lihat? Sekiranya anda kurang berpuas hati, ikuti beberapa ide dan tip berikut untuk membantu anda mendapatkan bilik air yang diidamkan. Bukankah kepuasan yang anda inginkan?

praktikal. praktikal. praktikal...
Gabungan dan pemasangan beberapa cermin atau satu cermin besar pada dinding dapat mewujudkan ilusi ruang kelihatan lebih lapang. Namun, bagi ruang yang terhad, di mana dan berapa banyak cermin boleh dimuatkan? Gunakan aplikasi bijak. Bina berapa banyak kabinet yang boleh mengikut keluasan ruang dinding. Ini bukan pembaziran. Degan pembinaan rak sebegini, anda tidak lagi memerlukan lebihan ruang untuk storan. Ganti pintu kabinet dengan panel cermin. Sekali gus anda telah menjimatkan banyak ruang. Lebih elok sekiranya, kedudukan kabinet diletakkan bertentang tingkap. Sekarang cermin tadi boleh digunakan untuk refleksi cahaya, terutama di waktu siang. Kini, anda telah menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di waktu siang.


bermandi hujan
Masih kah anda ingat, pengalaman bermain hujan sewaktu kecil dahulu. Hidupkan semula memori indah itu di bilik air anda. Gunakan kepingan kayu yang telah diketam untuk membentuk lantai dan dinding di ruang ini, bagi anda yang mahukan suasana terbuka yang kelihatan lebih natural, biarkan kawasan ini tidak berbumbung. Tetapi fikirkan kegunaan dawai kawat yang kasar untuk tujuan keselamatan. Alternatif lain adalah dengan menggunakan zink lut cahaya atau lut sinar. Penggunaan bahan ini akan memastikan ruang ini sentiasa kering. Anda juga memerlukan pengaliran udara yang baik bagi memastikan ruang ini tidak berbau dan berkulat akibat kesan lembapan. Hiasi ruang ini dengan tanaman menjalar atau penutup bumi yang gemarkan lembapan. Susun tanaman dengan teliti agar nampak seperti semula jadi. Pilihlah pancuran yang mempunyai semburan air kasar dan kedudukannya perlulah berada betul-betul di atas kepala.




storan atau panel hiasan?
Sekiranya anda memiliki ruang mandi yang luas, banyak perkara menarik yang boleh anda lakukan. Selain memasang kabinet, tebuk dinding untuk mendapatkan ruang bukaan yang kemas. Anda boleh menyusun semua keperluan mandi di sini. Pasangkan beberapa panel rak daripada kaca untuk efek terapung. Tetapi, sekiranya kedudukan sink basuh tangan terletak berhadapan muka pintu kamar mandi, jadikan ruang ini sebagai ruang mempamerkan koleksi aksesori anda. Jadi, tiada lagi pemandangan yang ‘mencacatkan’ setiap kali pintu dikuak. Berikan kemasan warna yang kontras atau lebih gelap atau lebih pucat untuk pelbagai efek visual seperti mendalam dan sebagainya. Pemasangan kabinet di dalam tebukan ini juga membuatkan kamar mandi anda kelihatan lebih kemas.


menerangi ruang
Pencahayaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan mood ruang. Bagi kamar mandi elegan, anda memerlukan penataan cahaya yang memberikan limpahan cahaya yang menghangatkan. Manakala untuk kamar mandi romantik, limpahan cahaya semula jadi dan percikan cahaya lilin sudah memadai. Apa jua konsep yang anda inginkan, pastikan kedudukan lampu dan cermin adalah sama. Lampu halogen memancarkan dua kali ganda kecerahan cahaya dan ketahanan berbanding mentol biasa. Untuk penjimatan tenaga, anda memerlukan transformer bagi menukar arusnya kepada voltan rendah. Tetapi anda juga memerlukan lebih ruang bagi pemasangan lampu halogen. Ruang di antara lampu-lampu ini berperanan menyerap haba panas yang dihasilkan. Dapatkan khidmat profesional untuk menentukan jarak atau ruang yang diperlukan.


dulu, kini dan selamanya
Jubin dan mozek merupakan antara kemasan yang paling kerap digunakan dalam bilik air. Selain mengikut konsep ruang dan kebersihan, ia turut berfungsi untuk mengelak permukaan dinding atau lantai daripada mengalami kerosakan akibat serapan air. Pilihlah jenis jubin atau mozek yang sesuai bagi mengelakkan kecederaan ketika berada di bilik mandi. Jubin atau mozek yang dipilh haruslah mempunyai permukaan anti licin. 
Jubin atau mozek turut berfungsi untuk memberi definisi sebagai ruang. Bagi bilik air berkonsep terbuka seperti ini, lantai kayu digunakan pada bahagian kering, manakala mozek pula digunakan pada bahagian basah. Mozek atau jubin bersepuh warna gelap akan menghasilkan kesan dramatik dengan penataan cahaya yang betul. Mozek juga lebih sesuai digunakan untuk bilik air yang keciluntuk mendapatkan impak visual yang lebih menarik.


selesa
Kedudukan mangkuk tandas juga perlu diberi perhatian. Ia bertujuan untuk mengelakkan rasa kurang selesa ketika menggunakannya. Tempatkan mangkuk tandas pada bahagian yang mempunyai keluasan selesa antara posisi mangkuk tandas dan dinding yang bertentangan dengannya. Bukaan pada ruang ini juga penting untuk memastikan pengguna merasa lebih selesa apabila berada di bilik mandi. 

syurga dunia 
Inginkan spa sendiri di kediaman? Anda tidak perlu melakukan renovation semata-mata untuk mendapatkan kelainan. Sediakan ruang untuk berbaring bagi tujuan urutan. Gunakan pangkin kayu sekiranya anda tidak ingin mengeluarkan belanja yang besar. Alaskan dengan kusyen untuk keselesaan. Pasangkan lilin aromatik atau minyak aroma terapi atau setanggi untuk mendapatkan mood spa sebenar. Taburan bunga-bungaan di dalam tub mandi juga kelihatan menarik. Sekiranya anda tidak memiliki tub, gunakan empayan yang besar sebagai tempat takungan air. Gunakan ceduk yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Jangan lupa alunan muzik yang lembut seperti gamelan dan sebagainya. Selepas itu, ... tiada lagi kunjungan ke spa!


panorama indah
Kehadiran tingkap pada kamar mandi adalah perlu untuk pengaliran udara. Selain memberi penataan cahaya semula jadi yang baik, ia juga membenarkan udara segar masuk. Terdapat berbagai jenis tingkap yang boleh anda pilih. Tingkap juga berfungsi membingkaikan pemandangan di luar. Letakkan tub mandi bersebelahan dengan elemen seni bina ini. Kedudukan strategik begini memberi anda peluang menikmati panorama indah tatkala berendam di tub.







terapi warna
Sentuhan warna-warna yang serasi dan lembut turut membantu menjadikan bilik air anda lebih ceria dan tidak hambar. Sama ada pada permukaan dinding, pilihan jubin atau aksesori di samping penggunaan warna yang digandingkan bersama corak dan tekstur membolehkan anda menghasilkan ide hiasan dengan mudah. Namun anda perlu berhati-hati dengan pemilihan warna kerana kehadiran warna-warna kontras akan mengecilkan lagi saiz bilik air anda.









telus
Penggunaan bahan kaca sama ada pada bahagian dinding yang bertindak sebagai sempadan atau pembahagi ruang antara bilik air dan sink, mampu memberi penampilan kemas, bersih dan lebih luas. Pastikan bahan kaca yang digunakan adalah daripada jenis yang tahan hentakan atau ‘tempered glass’. Langkah ini sangat perlu agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Penggunaan bahan ini juga sesuai untuk kamar mandi berkonsep moden. Anda juga boleh memilih kaca kabut sebagai pembahagi ruang di antara tub dan sink. Tapi pastikan anda menggunakan warna yang terang di bahagian sink. Biasan warna yang lebih lembut akan terhasil apabila dilihat melalui kaca kabut tadi. Ini akan memberikan terapi warna yang baik tatkala anda berendam. Jangan lupa lilin aroma terapi anda!





kehangatan sumber semula jadi
kemasan kayu sesuai bagi anda yang menggemari konsep kontemporari dan elegan. Pilihan warna gelap memberikan mood penuh sensual terutama di kamar mandi. Pilihlah kayu yang tahan lembapan untuk kepuasan yang berpanjangan. Untuk bentuk kemasan yang sama, anda boleh menggunakan permukaan lamina dengan pelbagai ira kayu yang menarik. Bagi menambah tarikan terhadap ruang ini, gandingan batu semula jadi seperti granit atau marmar pasti menarik.


‘knock-knock’ ...
Ruang kamar mandi di bilik utama perlu diberi keutamaan. Hiasi ia sebaik mungkin dan selaras dengan konsep keseluruhan kediaman. Kedudukan pintu juga penting. Pastikan apabila pintu dikuak, saluran paip tidak jelas kelihatan. Lakukan sesuatu agar ia tidak keterlaluan hingga boleh merencatkan pemandangan.pastikan juga tiada laluan lain. Ini akan memastikan anda mendapat privasi yang diingini secara total. Pelbagaikan pilihan pintu anda. Sekiranya anda menggemari konsep romantik, cuba gunakan bidai manik sahaja. Untuk kelihatan kemas dan ultra-moden, beralihlah kepada pintu gelangsar.

Monday, 21 April 2014

Rawatan Spa

Rileks, Tenang & SPA..... Rawatan di spa dikatakan mampu merehatkan minda dan badan serta mengurangkan tekanan yang dialami seharian. Penggunaan bahan-bahan semula jadi dengan warna-warna yang lembut dan menenangkan menjadikan rawatan di spa lebih berkesan dan berjaya. Menghargai rawatan dan suasana di spa yang semakin menjadi ikutan, mendorong renovation_interior_landscape membawa anda ke dunia warna-warna meditasi dan menenangkan, atau dikenali sebagai warna-warna spa.


SEJAK berkurun lamanya, manusia telah meggunakan mata air berubat untuk memperbaiki kesihatan badan. Walaupun kemajuan pembangunan teknologi perubatan dan rawatan kesihatan menggunakan kaedah rawatan yang lebih moden, perubatan secara mandian ini semakin mendapat perhatian. Bilangan yang mengambil berat tentang rawatan ini meningkat, dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan. Rawatan di spa dipercayai dapat membantu mengurangkan kesan penyakit-penyakit tertentu serta mencantikkan tubuh badan. Rawatan di spa juga dimajukan dengan penggunaan minyak rawatan, bunga-bungaan, herba, rempah-ratus, dan banyak lagi. Selain mandian, rawatan di spa juga melibatkan urutan, mandi wap dan sebagainya.

APA ITU WARNA SPA
      Spa adalah satu cara ‘melarikan’ diri daripada tekanan dan kesibukan yang dialami. Spa mencerminkan sesuatu yang selesa, selamat dan mudah. Warna-warna spa adalah warna natural, yang memberi kesan yang menenangkan, dan ringkas. Fikirkan warna hijau celadon dipadankan dengan warna putih pudar. Atau, warna biru keputihan yang digabungkan dengan warna putih lembut. Atau, gunakan warna kelabu keemasan, yang diinspirasikan dari pesisiran pantai, atau kehijauan alam tropika yang menenangkan. Menambah warna adalah cara terpantas mencipta mood. Pilih warna yang tenang, lembut dan padankan dengan warna-warna menyerlah.


RUANG TAMU & BILIK TIDUR BERGAYA SPA
     Ruang tamu dan bilik tidur adalah tempat untuk merehatkan badan dan minda. Susun atur yang ‘lembut’ membantu kita mendapatkan kualiti tidur yang lebih baik. Dengan menjadikannya sentiasa kemas dari masa ke semasa dapat memperbaharui ‘tenaga’ kediaman dan penghuninya. Pilihlah warna-warna yang damai dan neutral untuk perabot serta dekorasi. Jika anda mahu memasukkan sedikit kesegaran ke dalam gaya hidup di kediaman, apa kata anda mengambil peluang mengecat dinding dan perabot dengan warna-warna baru yang diinspirasikan daripada alam semula jadi. Warna-warna pudar sentiasa fleksibal untuk perabot serta padan dengan apa-apa gaya interior sekalipun.

Untuk keselesaan dan keriangan, pelekat jubin bilik air boleh menghasilkan tema spa tertentu di kediaman anda.
Selain warna, beberapa aspek lain boleh ditambah sebagai elemen pelengkap untuk menjadikan efek spa lebih berkesan. Mulakan ‘kediaman spa’ anda dengan beberapa objek permulaan berikut:
Kerusi urut
Peralatan senaman
Lilin aromatik
Minyak pati
Peranggu angin
Akuarium
Pembakar minyak aroma terapi
Kristal dan batu permata
Alunan muzik
Majalah kesihatan
Batu urutan
Tanaman ‘indoor plant’

Saturday, 19 April 2014

Rona Romantis dari taman

Mungkin anda pernah mendengar kisah minyak wangi yang menjadikan diri anda bagai sekuntum bunga indah. Rangsangan yang penuh nikmat dengan aroma harum mendarat di hidung akan terus merangsang pemikiran. Keharuman bunga acapkali membawa imaginasi yang indah dan romantis. Justeru nilai indah itulah pesona warna flora yang lembut menjadi inspirasi pereka. 

yang mana satu
Dari biru, ke ungu ke merah samar ke putih kekuningan dan putih kebiruan, aura warna ini acapkali menyentuh jiwa kita lantaran kelembutan fitrahnya. Bagaikan satu magis, rona sebegini mampu melembutkan jiwa atau membelai sanubari. Berbeza dengan warna lazat, rona haruman romantis ini lebih mengusik jiwa ibarat bunyian indah dari tali kecapi yang dipetik. 
Jangan kaget apabila dikatakan warna flora selalunya agak lebam, dan agak mewah dan ada juga sederhana lembut. Selalunya anda akan lihat rona sebegini bukan pada cat tetapi kemasan lain seperti fabrik baldu, kertas dinding, aksesori malah batu hiasan. Rona ini agak unik kerana ia seeloknya perlu berdiri dengan sendirinya. Jadi jika anda mahu ia menjadi feature wall atau gandingan dengan rona neutral demi membangkitkan seri ruang, inilah pilihan warna anda.

antara feminin & elegan
Jangan salah sangka, rona romantis ini bukanlah rona yang terlalu pastel tetapi ia sedap dipandang dan memberi satu kepuasan apabila melihatnya persis sejambak bunga. Ia lebih menyerlahkan sifat feminin dan elegan. Jadi bagi mereka yang mahukan aura unik pada ruang, ilham flora mampu menyerlahkan nilai feminin anda. Justeru adalah elok anda memilih corak yang agak feminin bagi kemasan lembut. Bunga, ukiran ala tumbuh-tumbuhan dan kerawang dilihat sangat cantik dengan irama romantis seperti ini. Bila bercakap soal warna sebegini juga, selalunya konsep yang sesuai adalah klasik atau moden klasik mahupun dramatik. Liuk lentuk ukiran atau kerja kayu perabot lebih hebat jika dipalitkan dengan rona sebegini. Kelembutan ukiran dan sebagainya ini mampu menyerlahkan keindahan sebenar perabot tersebut. Malah jika berani kenakan sedikit palitan emas dalam gaya bercapuk & capuk ala sentuhan antik yang kini mula menjadi perhatian.

Gandingan serasi
Adakala dalam kita mencetuskan suasana romantis ala urban, ringkas itu adalah lebih menarik. Gaya ala minimalism atau rustik sungguh memikat hati. Ini adalah kerana biar warna yang menyerlahkan ruang kediaman anda. Bersama corak atau tekstur atau sekadar palitan polos kediaman. Palitan cat yang bertompok-tompok atau mengalir bagai lukisan abstrak mampu menjelmakan ragam gaya ala kota metropolitan yang menggamit memori anda terhadap cerita romantik seperti Pretty Woman, Flash Dance, Sleepless In Seattle dan sebagainya.
  Manakala bagi ragam yang lebih klasik, anda lebih hebat bermandikan rona ini dengan megahnya. Kerawang dan ukiran mewah akan digandingkan dengan rona ini dalam gaya yang paling hebat. Baik di kertas dinding, fabrik dan lukisan, warna dalam aura romantis ini menjadikan gaya hidup anda tampil begitu gah dan menggoda. Jambangan bunga yang merimbun sememangnya menjadi satu kemestian dengan limpahan rona semula jadi bersama haruman yang mengasyikkan. Simbahan sinar semula jadi juga sangat penting dan biasan cahaya yang menerobos ke dalam ruang perlu disukat agar tidak terlalu terang dan juga tidak terlalu malap. Selalunya fabrik seperti sheer akan digunakan bagi mendapatkan kesan ini. Begitu juga dengan renda yang disulam mewah. Jangan lupa semburan dalaman yang harum semerbak. Ia merangsangkan minda kita agar lebih dapat merasakan aura rona romantis ini dengan lebih nikmat.

Thursday, 17 April 2014

tanaman dalam rumah

Kehadiran tanaman dalam rumah atau indoor plants semakin menjadi pilihan dalam menghias ruang untuk tampil lebih segar dan menawan. Gabungan pelbagai saiz, warna dan bentuk mampu menjadi elemen dekorasi yang membantu membangkitkan mood serta mengundang selesa kepada pemilik kediaman.

KEBANYAKAN tumbuhan atau tanaman dalam rumah ini memerlukan penjagaan rapi. Beberapa faktor perlu diberi perhatian bagi memastikan tanaman ini terus segar dan boleh bertahan lama. Bagi tanaman dalam rumah, elemen pencahayaan dan kuantiti udara serta penggunaan bahan seperti baja dan tanah yang sesuai juga mendorong tanaman ini untuk kelihatan segar dan sihat. Cara penanaman serta tip penjagaan berikut dapat membantu anda untuk memahami dan melakukan sendiri penjagaan tanaman ini.












1. fluffy raffles boston fern (paku-pakis)

Deskripsi: spesies paku-pakis Boston ini berasal dari Afrika. Tumbuhan ini boleh membesar sehingga mencecah 60 inci dengan kelebaran pada pelepah daun. Namun pelepah ini mudah kering dan gugur jika tidak betul penjagaannya.
Tip penjagaan: untuk tumbesaran yang sempurna, paku-pakis Boston perlu diletakkan di tempat yang cerah. Tetapi elakkan daripada terkena cahaya terik untuk mengelakkan pokok daripada melecur. Penggunaan baja asli dan subur dapat membantu proses pembesaran tumbuhan ini.















2. rana bromeliad

Deskripsi: kacukan daripada spesies Guzmania ini menghasilkan bunga berwarna terang dengan saiz besar pada bahagian atas atau puncak, berserta daun panjang berwarna hijau segar. Ia mampu membesar sehingga mencapai ketinggian 30 inci.
Tip penjagaan: keadaan lembap memberikan suhu yang lebih baik untuk tumbuhan ini membesar selain memerlukan penjagaan rapi. Anda hanya perlu menggunakan kain lembap untuk membersihkan permukaan daun yang kotor agar sentiasa kelihatan segar dan sihat. Kuantiti air juga tidak boleh berlebihan  dan hanya perlu disiram setiap minggu di bahagian tengah tumbuhan.













3. marble queen pothos

Deskripsi: ia memiliki daun berbentuk hati berwarna hijau kekuningan . Berbatang lembut seakan warna cerah. Untuk mendapatkan batang yang segar dan sihat, penggunaan baja yang sesuai diberi perhatian.
Tip penjagaan: ia serasi dengan keadaan persekitaran dalam rumah. Namun untuk memudahkan proses pembiakan dan pembesaran, pendedahan pada ruang yang cerah dapat membantu selain memastikan keadaan tanah yang sentiasa lembap.














4. mosaic plant 

Deskripsi: tumbuhan ini boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 24 inci. Kehadirannya mampu menyerikan ruang untuk tampil lebih menarik. Nama ‘mosaic’ diambil sempena ira halus membentuk garisan dengan jalinan urat pada bahagian daun yang kelihatan seolah-olah kemerah-merahan. Ia menghasilkan permukaan daun yang menarik.
Tip penjagaan: penggunaan pasu bersaiz kecil adalah tepat unuk tumbuhan bersaiz kecil ini dan pembiakan boleh berlaku dengan menggunting bahagian daun untuk ditanam atau boleh juga dikacukkan.















5. birds nest fern

Deskripsi: berasal dari New Zealand, hutan tropika Asia dan Polynesia. Tumbuhan ini serasi berada pada kawasan yang menerima pencahayaan baik.
Tip penjagaan: penggunaan baja asli dalam keadaan lembap juga turut membantu tumbuhan ini hidup segar dan sihat.













6. tropic snow dumbcane

Deskripsi: keadaan fizikal dengan daun lebar bercorak hijau putih menjadikan spesies ini menarik dan popular. Ia tumbuh atau membesar secara padat sehingga mencapai ketinggian 36 inci.
Tip penjagaan: tidak boleh berada pada keadaan cuaca panas terik dan memerlukan keadaan tanah yang lembap untuk terus kelihatan segar.















7. emerald gem

Deskripsi: dapat dikenal pasti dengan daun berbentuk hati berwarna hijau gelap. Spesies ini berasal dari kepulauan Jawa, Indonesia. Spesies ini membiak dengan padat dan merupakan antara spesies tumbuhan yang subur.
Tip penjagaan: biasan cahaya sudah mencukupi untuk tumbuhan ini melakukan proses semula jadinya. Akar adalah bahagian yang paling sensitif kerana proses pembesarannya bermula daripada akar yang sihat.















8. butterfly palm 

Deskripsi: tumbuhan ini berasal dari Madagascar. Ia memiliki daun berbentuk tirus dan kurus serta mudah berangin. Ia mampu membesar sehingga mencapai saiz 40 inci.
Tip penjagaan: untuk terus segar, la memerlukan pencahayaan yang baik, tetapi bukan pada kedudukan panas terik. Sesekali daunnya perlukan penjagaan dengan membersihkan bahagian hujung daun sekiranya kotor dan berdebu.