Thursday, 10 July 2014

MEMAKSIMAKAN RUANG

MEMAKSIMAKAN RUANG
Ruang terhad adalah masalah biasa dalam apartmen atau kondominium. Apa yang harus anda lakukan?

  • Cari alternatif meminimakan penggunaan ruang seperti mengurangkan pilihan perabot. Pastikan anda tidak meletakkan perabot bersaiz besar atau letak untuk keperluan sahaja.
  • Beralih ke kabinet binaan dalam. Untuk bilik tidur utama ini, pemilik mewujudkan kabinet pakaian binaan dalam seterusnya menjadi dinding pemisah antara ruang tidur dan bilik mandi.
  • Jika pintu kabinet menghadap ke arah ruang dalam bilik tidur, pastikan pintu kabinet tertutup kemas dan rapat pada tempatnya.
  • Gunakan sepenuhnya ketinggian siling dengan kabinet agar dinding di belakang tidak kelihatan langsung bagi mengelakkan ketidakseragaman.
·





Monday, 7 July 2014

SKEMA MERAH

SKEMA MERAH

Apakah aplikasi berkesan yang boleh anda praktikkan pada ruang?

  • Pengaruh warna boleh mencorak hidup dan reaksi peribadi individu. Warna merah sering dikaitkan dengan emosi cinta, kehangatan dan keghairahan.
  • Kumpulan warna merah seperti merah jambu, merah ros dan merah coral sebagai tema hiasan mampu meninggalkan kesan dramatik kepada penghuni.
  • Aplikasi warna merah dalam menghias kediaman boleh menceriakan suasana kerana warna ini merupakan warna yang bertenaga dan memberangsangkan.
  • Tetapi jangan pula keterlaluan kerana merah juga boleh menukar warna sebaliknya iaitu menjadi terlalu berkilau dan garang.










Friday, 4 July 2014

PENGGUNAAN JUBIN

PENGGUNAAN JUBIN

Mozek merupakan antara kemasan dalaman yang kembali popular. Kepelbagaian variasi warna dan bahantara yang digunakan untuk menghasilkan mozek menjadikan ia lebih mudah diadaptasikan dan dibentuk.

  • Kemasan mozek melatari kediaman menghasilkan ruang yang mengagumkan. Mozek kecil atau serpihan mozek boleh menampilkan ruang kelihatan lembut atau sebaliknya dengan corak geometri.
  • Sebelum memilih mozek yang sesuai, anda perlu mengambil kira warna, reka bentuk dan permukaan ruang terlebih dahulu. Andaikan mozek dapur anda kelihatan cantik tetapi tidak semestinya cukup kuat untuk kegunaan lasak seperti menggantung kelengkapan dapur anda.
  • Hari ini, mozek bukan sekadar sebagai kemasan terakhir kediaman tetapi didatangkan dalam pelbagai saiz, reka bentuk dan warna yang trendi. Bukan sahaja ruang lebih bergaya tetapi senang untuk dibersihkan. 
  • Mozek boleh dipadankan dengan kemasan lain seperti bahantara kayu, keluli tahan karat, plastik, kaca dan seramik lain agar ruang tidak kelihatan suram.










Tuesday, 1 July 2014

RUANG BALKONI

RUANG BALKONI

Jika sudah minat untuk mewujudkan landskap, kawasan yang terhad seperti balkoni bukan menghalang untuk merealisasikannya.

  • Pastikan anda tidak menggantung terlalu banyak pokok berjuntai bagi mengelakkan pemandangan kurang kemas.
  • Jika anda masih bujang dan sibuk dengan urusan harian, pilih landskap balkoni yang mudah dijaga. Penggunaan batu hiasan juga lebih praktikal.
  • Pilihan batu kerikil biarlah mempunyai tona warna semulajadi atau hampir dengan warna lantai di ruang tamu berhampiran. Ini memastikan terdapatnya kesinambungan antara hiasan luar dan dalam.
  • Jika anda mempunyai balkoni berbentuk separuh bulatan sederhana besar, pastikan anda meletakkan perabot taman dalam kuantiti yang sedikit. Sepasang kerusi taman dan sebuah meja sudah mencukupi.









Saturday, 28 June 2014

SUDUT/RUANG BELAJAR

SUDUT/RUANG BELAJAR

Membentuk ruang belajar pada sudut kamar memerlukan perancangan yang teliti. Penggunaan ruang yang maksima dapat melancarkan pergerakan, walaupun di ruang terhad.


  • Kemasan perabot bina dalam dwi-fungsi seperti almari boleh ditambah dengan meja belajar di bahagian sisi sebagai memaksimakan penggunaan ruang.
  • Pilihlah kemasan meja jenis kayu ramin atau kasah warna asal kayu atau lembut bagi menerapkan unsur semulajadi dalam ruang dan keselesaan ketika mentelaah.
  • Pastikan juga ruang ini mempunyai penataan cahaya mencukupi ataupun dibantu dengan lampu meja pelbagai reka bentuk menarik. Bukan sahaja memudahkan ketika membaca atau menulis tetapi sebagai menambah gaya meja anda.
  • Pilihlah meja dan kerusi yang mempunyai reka bentuk yang baik dan selesa. Agar sudut ini tidak berselerak, sediakan tempat penyimpanan fail, alat tulis dan bahan rujukan di tempat berasingan tetapi paling hampir.








Wednesday, 25 June 2014

IDEA REKAAN

Taman Kecil

Halaman Teres

Kehadiran binaan laman berupaya memberikan terapi secara psikologinya kepada pemilik kediaman. Kehijauan pokok dan deruan air dari kolam merupakan ketenangan dan santai yang anda boleh nikmati di laman anda tanpa perlu bersusah payah ke taman atau tasik.

Lantaran kita kerap mendengar masalah rakan-rakan yang menghadapi kesukaran dan dilema menata halaman teres lot tengah, dan kami memahami keresahan anda untuk mengatur ruang terhad itu. Kali ini kami menampilkan rekaan laman khas untuk kediaman jenis ini yang menggunakan kebanyakannya elemen dan pokok yang murah dan senang diselenggara.
















Sunday, 22 June 2014

KAKTUS

Kaktus, berduri & unik


KAKTUS adalah tumbuhan dalam kategori succulent. Ia juga biasa menjadi tumbuhan hiasan yang unik dan cantik di halaman anda. Kumpulan ini biasanya mempunyai keupayaan menyimpan kapasiti air dalam badan iaitu batang dan daun dan anda tidak perlu menyiramnya selalu. Kaktus kebanyakannya berbentuk silinder dengan permukaan yang tidak rata. Permukaannya juga berlilin untuk mengurangkan kehilangan air dan kelembapan kerana ia memang terdedah kepada cuaca panas. Spesies ini mempunyai duri yang membantunya melindungi diri daripada binatang dan juga memberikannya bentuk badan.

Kaktus terdiri daripada Echinocactus, Mammilaria, Cleistocactus, Opuntia, dan schlumbergera. Ia juga ada kalanya mengalami mutasi yang mengakibatkan pembentukan yang ganjil. Bentuk yang ganjil juga disebabkan oleh faktor genetik tidak normal atau kekurangan nutrien semasa pertumbuhan. Tumbuhan berduri yang unik ini perlu hidup dalam keadaan yang paling kurang kelembapan atau kering. Anda perlu menempatkan kaktus di kawasan kering dan terdedah kepada cahaya matahari manakala bancuhan tanah juga perlu terdiri daripada bahan yang longgar untuk menggalakkan pengeringan yang cepat tatkala terdedah kepada air atau kelembapan.



1.    Mammilaria elongate
Spesies ini mempunyai bentuk badan yang memanjang dan ditumbuhi duri yang berwarna coklat atau keemasan seperti jarum. Bunganya pula berwarna kuning muda hingga merah jambu manakala buahnya pula berwarna merah jambu dan merah. Spesies ini juga dijaga dan popular kerana mampu mengeluarkan bunga ketika masih muda. Sama seperti kebanyakan kaktus yang lain, spesies ini memerlukan bancuhan tanah yang kering dan longgar untuk pertumbuhan dan sebaik-baiknya menggunakan pasu yang berlubang agar lebihan air siraman tidak bertakung.

2.    Bishop cap / Astrophum myriostigma
Kaktus bishop cap adalah jenis kaktus yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm. Kaktus ini seolah-olah mempunyai sirip pada bahagian batangnya. Spesies ini dikatakan berasal dari Texas dan Mexico. Bunganya berwarna kuning dengan hujung kelopak seakan-akan berwarna hitam akan dihasilkan kira-kira 5 tahun selepas ditanam. Proses pengeluaran bunga dari kaktus ini kemudiannya diikuti dengan pengeluaran buah. Bishop cap sesuai ditanam dengan menggunakan tanah yang kering dan mengandungi mineral yang sedikit sahaja. Spesies ini mudah mati jika terlebih siraman. 

3.    Chin cactus / Gymnocalycium saglionis
Spesies ini paling sesuai sebagai permulaan bagi mereka yang baru ingin memulakan tanaman kaktus kerana ia senang membiak. Ia boleh mencapai ketinggian sehingga 30 cm. Spesies ini berwarna hijau dengan duri yang berwarna hitam, putih atau coklat kemerah-merahan. Ia sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai kelembapan yang kurang bagi memastikan pertumbuhan yang sihat. Di samping itu, 1/3 bancuhan tanah juga perlu mengandungi organik dan mudah kering apabila disiram. Untuk menjaga kesuburannya, titikkan makanan kaktus sekali setiap sebulan. Ia adalah spesies yang paling mudah dijaga dan mudah membiak. Bunga yang dihasilkan chin cactus biasanya berwarna putih, krim, kuning, merah, atau merah jambu.

4.    Golden barrel / Echinocactus grusonii
Golden barrel adalah kaktus yang berwarna hijau dan diselaputi duri yang berwarna keemasan yang merupakan ciri estetika yang ada padanya. Ia adalah spesies yang lambat pembesarannya. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai ketinggian satu meter. Ia tidak akan mengeluarkan bunga sehingga mencapai kematangan dan sekurang-kurangnya 40 hingga 60 cm ukuran diameter. Jika anda berniat untuk menanamnya, pastikan anda mempunyai tempat yang terbuka dan terdedah pada sinaran matahari untuk menempatkannya nanti. Kaktus ini memerlukan siraman sekali sekala dan mudah mendapat serangan serangga perosak. Golden barrel mengeluarkan bunga berwarna kuning muda selepas mencapai tahap kematangannya.

5.    Opuntia / Opuntia microdasys
Kaktus spesies ini berbentuk kepingan bujur yang mempunyai permukaan rata. Opuntia paling popular dalam seni landskap terutama sekali opuntia ficus indica yang kurang berduri dan mampu mencapai ketinggian hingga 5 meter. Spesies microdasys mempunyai bulu-bulu yang halus. Microdasys yang matang boleh mencapai ketinggian sehingga 1.8 meter. Untuk menanamnya, pastikan anda menggunakan bancuhan tanah longgar untuk memudahkan air siraman kering. Bunganya berwarna kuning manakala buahnya pula berwarna merah. 


Tip membeli kaktus:
1.    Ketika memilih kaktus pastikan ia dalam keadaan bersih dan mempunyai permukaan kulit yang sihat dan tegang. Pastikan badannya tidak lembik atau mengalami sebarang ‘luka’ pada badannya.
2.    Kaktus tersebut tidak kelihatan pucat atau hijau muda. Jika ini terjadi, ia menunjukkan ia tidak sihat kerana telah terdedah kepada cahaya matahari yang samar sahaja.

3.    Pastikan kaktus bebas dari sebarang serangga perosak seperti mealybugs yang kecil dan berwarna putih, yang melekat pada bahagian batang. 

Thursday, 19 June 2014

Harum segar laman tradisi


1. Kenanga /canangium odoratum

Rupanya tidaklah begitu cantik dan indah namun mengeluarkan bau yang wangi dan harum sepanjang hari. Sering menjadi pilihan sejak dahulu kala untuk menghiasi laman melayu. Ia berasal dari Asia Tenggara dan menjadi pilihan untuk dijadikan bunga rampai. Ia membesar secara sederhana dan boleh mencapai ketinggian 2.5 meter hingga 3 meter. Bunganya yang hijau kekuningan berbau harum dan mempunyai khasiat untuk merawat sesak nafas manakala kulit pokoknya boleh merawat kudis. Ia boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan dan kaedah tut.



2. Bakung /hymenocallis littoralis variegate

Daunnya panjang meruncing di hujungnya juga dikenali sebagai spider lily. Pokoknya mempunyai belang pada bahagian daunnya yang berbentuk panjang. Pokok ini biasa ditanam di atas batas dan mengeluarkan bunga berbentuk seakan-akan seekor labah-labah apabila matang. Memerlukan tanah yang gembur untuk membesar dan boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah belahan rumpun dan bebawang.



3. Tanjung /mimusops elengi

Bunga tanjung berbunga kecil dan mempunyai akar banir yang kuat mencengkam. Pokoknya tidak terlalu kecil dan boleh membesar hingga merimbuni laman. Pokok ini boleh mencapai ketinggian 20-25 meter berasal dari kepulauan india. Bunga kecil enam kelopak berwarna kuning yang tumbuh lebat pada pokok ini akan menghasilkan aroma yang wangi sepanjang hari terutamanya pada waktu malam. Pokok ini boleh dibiakkan melalui biji benih. Daunnya juga berkhasiat untuk mengurangkan panas badan akibat demam dengan melumurkan air ramasan daun tanjung pada badan.



4. Ros Cina /gardenia jasminoides

Tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian sehingga 6 kaki dan sentiasa menghijau. Daunnya tersusun secara bertentangan dan tebal serta boleh memanjang sehingga 4 inci. Bunganya pula berwarna putih dan berbau wangi. Buah tumbuhan ini berwarna oren dan berbentuk oval dengan ukuran panjang 1.5 inci. Nama Melayu: Bunga Cina, Kaca Piring, Bunga Susu.

5. Cempaka /Michelia champaca linn

Ia berasal dari pokok hutan yang tumbuh meliar. Ia mampu mengeluarkan bunga yang mempunyai aroma yang wangi berwarna kuning dan putih. Ia mempunyai bentuk yang agak rimbun dan matang walaupun hanya berketinggian kira-kira satu meter dari aras tanah. Tumbuhan ini mengeluarkan buah yang mempunyai banyak khasiat termasuk masalah kencing tidak lawas dan memulihkan tenaga wanita yang baru melahirkan anak.


6. Tembusu /fagraea fragrans

Pokok ini juga menghasilkan bunga kecil berwarna putih yang wangi. Ia adalah sejenis pokok hutan terutama sekali di kawasan lembah dan tanah rendah yang juga berbuah. Sesuai dijadikan pokok halaman rumah kampung kerana kerimbunannya. Tembusu boleh membesar sehingga 30 meter tinggi dan membiak menerusi biji buahnya yang disebarkan oleh kelawar.

7. Kesidang /vallaris glabra

Kesidang dikenali sebagai bunga kerak nasi. Bunganya yang berbentuk seolah-olah kerak nasi mempunyai bau yang harum seakan-akan bau daun pandan. Ia merupakan tumbuhan dari keluarga Apocynaceae. Ia juga dikenali dengan nama dipercayai berasal dari kepulauan jawa ini merupakan  sejenis tumbuhan memanjang dengan batangnya yang kecil tapi berkayu dan keras serta mudah lentur. Ia sesuai dengan pergola di taman. Walaupun ia juga boleh sentiasa dipangkas untuk membentuk pohon renek yang merimbun. Kulit batang dan daun kesidang mempunyai getah yang berwarna putih.


8. Melur /jasminum sambar

Pokok bunga melur sering menjadi pilihan untuk ditanam di halaman desa. Pokok ini hidup membesar dalam keadaan menjalar pada pokok-pokok lain atau pada sesuatu bahan yang ia boleh berpaut. Bentuk daun pokok ini nampak ringkas dan mudah, bercabang tiga, sedikit berlilin dan warna hijau tua. Manakala, pada amnya warna bunga ini mudah didapati dalam warna putih, namun spesies yang lain mempunyai bunga yang berwarna kuning. Bunga melur boleh dijumpai dengan lima atau enam kelopak. Bauan bunga ini sangat kuat dan harum.




9. Kemuning /murayya paniculatta

Pokok ini dari famili Rutaceae merupakan pokok yang berbatang pendek. Ia boleh membesar sehingga 7 meter dan sangat rimbun untuk laman anda. Ia sentiasa berbunga dan sangat bermanfaat sebagai tanaman pagar. Bunga kemuning pada mulanya berwarna kehijauan akan bertukar menjadi putih apabila mekar. Kayunya pula mempunyai kualiti yang tinggi dan sesuai dijadikan sarung keris.



10. Mawar /rosa multiflora

Pokok ini ternyata popular lantaran bunga yang sangat harum dan mempunyai ciri sentimental tersendiri. Ia pasti memikat sesiapa sahaja yang menghidunya. Mawar atau ros adalah pokok hiasan yang sering menghiasi laman. Ia mempunyai batang yang berduri dan batang yang lembut. Ia membiak melalui kaedah cantasan. Pokok bunga mawar merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Monday, 16 June 2014

Tanaman Penutup Bumi

Asia Tenggara merupakan antara lokasi di dunia yang mempunyai jenis tanaman penutup bumi yang menarik dan menakjubkan.


TANAMAN penutup bumi sangat berguna memandangkan ia bukan sahaja menarik dipandang, malah berfungsi dengan baik. Selain menggenggam struktur tanah. Tanaman jenis ini juga dapat meminimumkan kadar pertumbuhan rumpai. Kebanyakan tanaman penutup bumi mempunyai struktur batang berkayu yang lembut. Sebahagian daripadanya boleh diklasifikasikan sebagai tumbuhan renek, dan tidak semua tanaman jenis ini mempunyai pertumbuhan menjalar. Ada di antaranya boleh dijadikan pokok memanjat seperti Lantana. Dalam konteks reka bentuk landskap, tanaman penutup bumi, selain daripada rumput ornament (perhiasan), ia sesuai digabungkan bersama tanaman yang lebih tinggi untuk kesan yang cukup menarik.




Portulaca grandiflora @ Rose Moss

Spesies ini merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan. Ia juga dikategorikan sebagai tanaman berair dan mempunyai tumbesaran sehingga 20 cm tinggi sehingga 15 cm. Berbatang lembut dengan warna kemerah-merahan. Daunnya mengandungi bendalir, berwarna hijau terang, dan kelihatan seperti manik. Mempunyai variasi warna bunga seperti kuning, merah, putih, dan jingga. Bukaan bunganya ini kelihatan seperti bunga ros mini yang cukup menawan. Bunganya akan kuncup pada waktu malam dan ketika hari mendung. Memandangkan ia adalah tumbuhan gurun, ia memerlukan cahaya matahari penuh sepanjang hari. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Menarik sekali untuk landskap taman berbatu.




Rhoeo
Mudah ditanam dan mengeluarkan warna daun yang cukup menarik. Permukaan atas daun berwarna hijau pekat dan pada sudut-sudut tertentu ia kelihatan berwarna ungu. Permukaan bawah daun juga berwarna ungu. Gemarkan persekitaran yang redup. Mudah diserang siput. Tanaman secara berkelompok akan menghasilkan taburan yang cukup menarik. Tanaman ini juga dipercayai mempunyai khasiat terutama dalam kalangan masyarakat Cina.




Peperomia @ Radiator Plant

Pokok ini tergolong dalam keluarga pokok lada sulah dan popular sebagai tanaman berpasu. Spesies ini dikenali sebagai Baby Rubber Plant atau Pepperface. Ia mempunyai struktur daun seperti mengandungi bendalir dan berkilat. Daunnya mempunyai dua warna iaitu hijau gelap di bahagian tengah dan hijau cair di bahagian luar. Gemarkan persekitaran yang panas tetapi jika terlalu terdedah kepada terik matahari, daunnya akan melecur. Tanam di sekitar kawasan yang redup atau dilindungi pokok besar dan renek yang lain. Percambahan semula adalah melalui keratan batang. Pembahagian tunas atau menanam sebahagian daun ke dalam pasir sehingga berakar.




Viola elatior @ Violet

Spesies ini tumbuh di kawasan padang yang lembab dan berair di timur Eropah dan barat daya China. Mempunyai daun bergerigi dan berkedut-kedut serta mengeluarkan bunga berwarna biru lilac. Ia gemarkan suasana yang redup. Di Malaysia, bunganya akan bertahan sehingga waktu tengah hari sahaja.




Ophiopogon @ Lilyturf

Tanaman berasal dari timur Asia ini mempunyai bentuk daun seakan-akan daun bawang. Berbunga sepanjang tahun dan mempunyai variasi warna bunga yang menarik seperti putih, putih kekuningan, dan merah jambu terang. Pada peringkat matang, ia akan mengeluarkan buah yang kelihatan seakan-akan buah beri dan sesuai digunakan untuk percambahan semula pokok. Sesuai ditanam pada medium bersaliran baik. Lilyturf akan kelihatan menarik apabila ditanam secara berkelompok dan hanya menggunakan satu warna bunga sahaja. Kaedah taburan yang sesuai adalah lapan pokok untuk setiap 20 cm pembahagian tanah.
   



Lantana @ Bunga Tahi Ayam

Tanaman ini mempunyai batang yang agak keras dan berduri halus. Daunnya berbentuk bujur, berpermukaan kesat dan kelihatan berurat. Ia mengeluarkan bunga berbentuk trompet secara berjambak. Bunganya akan berubah warna apabila mencapai tempoh matang. Ini menghasilkan variasi warna yang cukup menarik untuk taman. Ketinggian pokok boleh mencecah 1 meter. Sesuai ditanam pada medium berpasir yang bersaliran baik. Untuk pertumbuhan yang sempurna, ia memerlukan cahaya matahari penuh sekurang-kurangnya empat jam sehari. Terdapat dua spesies yang biasa dilihat iaitu Lantana camara dan Lantana sellowiana. L. camara mempunyai variasi warna seperti krim, kuning dan kuning kemerah-merahan. Apabila matang warna bunga akan berubah kepada merah jambu, merah, jingga atau putih. L. sellowiana pula merupakan jenis menjalar dengan bunga berwarna kundang terang atau merah jambu.




Chlorophytum comosum @ Spider Plant

Mempunyai bentuk daun seperti rumput tetapi mengeluarkan warna yang menarik. Ia juga popular sebagai tanaman gantung. Ia sesuai dijadikan tanaman tutup bumi terutama di bahagian yang redup. Apabila matang ia akan mengeluarkan bunga yang halus berbentuk bintang. Terdapat tiga variasi di mana setiap variasi ditentukan dengan warna dan bentuk daunnya. Ia juga boleh dijadikan tanaman hiasan dalam rumah.





Sansevieria @ Lidah Mertua

Terdapat dua spesies yang berbeza. Satu mempunyai pertumbuhan daun yang tinggi dan satu lagi lebih rendah. Sesuai untuk taman berbatu. Ia mempunyai daun yang keras dan berlendir. Warna daunnya juga menarik dengan variasi warna kuning dan hijau pekat. Sanseviera triasciata menarik sebagai tanaman tutup bumi kerana pertumbuhannya secara berkelompok. Gemarkan persekitaran yang kering dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. 





Hymenocallis littoralis @ Spider Lily

Tanaman ini mengeluarkan bunga yang kelihatan tidak ubah seperti daffodil. Bezanya adalah kelopak bunganya yang lembut dan kelihatan seperti labah-labah. Tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Lebih sesuai ditanam di atas tanah berbanding di dalam pasu. Bunganya akan kembang di waktu senja dan mengeluarkan aroma yang sangat wangi.