Monday, 31 March 2014

PERANAN POKOK DALAM HIASAN DALAMAN



A) Menolong menjadikan ruang dalaman kediaman, pejabat dan sebagainya menarik, kemas dan nampak hidup.
B) Membuat kita dikelilingi alam semulajadi serta menyejukkan keadaan sekeliling.
C) Mewarnakan ruang dengan pelbagai warna daun semulajadi sepertihijau, putih dan sebagainya.
D) Pokok dapat melindungi kecacatan pada dinding, lantai atau penjuru bilik yang mungkin kurang cantik dipandang mata.
E) Melembutkan struktur keras dinding, tiang dan sebagainya.
F) Pokok dapat memainkan peranan dalam merekabentuk sesebuah bilik dan menyesuaikan dengan hiasan dalaman lain dari segi warna seterusnya menyerlahkan bilik berkenaan. Contohnya, sepohon pokok spesimen yang besar boleh memberikan titik fokus atau gubahan pasu gantung dengan pokok pelbagai bentuk dan warna boleh menjadi tarikan dan bahan bualan tetamu yang bertandang.


GUBAHAN POKOK UNTUK HIASAN MEJA DI RUANG TAMU

Sediakan pelan susun letak pokok ( rujuk kepada gambarajah ), pokok,
bahan dan alatan berkebun seperti berikut : 
a- Pokok: Sanseviera Hahnii (P1), Kalanchoe Verticillata dan Aloe Vera (P2), serta Clorophytum     Comosum (P3) atau pokok lain yang sesuai. Pastikan pokok-pokok yang dipilih mempunyai     keperluan yang sama dari segi campuran medium, air dan cahaya matahari.
b- Bahan: pasu rendah dan lebar bergarispusat 0.5 meter, medium 3:2:1 (tanah peroi:bahan     organik:pasir sungai), sabut kelapa, batu untuk hiasan dan sudip tangan.
1- Letakkan sabut kelapa di lubang bawah pasu dan masukkan campuran medium.
2- Tanam pokok mengikut susunan paling tinggi di belakang (P1), sederhana tinggi di sisi kiri dan kanan (P2), dan paling rendah di hadapan (P3) supaya tidak terlindung di antara satu sama lain.
3- Letak batu di antara pokok untuk kelihatan lebih semulajadi, cantik serta menjadi titik fokus.
4- Siram sehingga air keluar melalui lubang bawah pasu.  

















Tuesday, 18 March 2014

PAGAR RUMAH LAMBANG STATUS











ZAMAN dahulu, halaman rumah biasanya berpagarkan bambu runcing untuk mengelakkan rumah dicerobohi khususnya haiwan liar. Tetapi kini, ‘kubu pertahanan halaman rumah’ ini bukan sekadar elemen penting untuk keselamatan, tetapi memperagakan status dan gaya.
Elemen pagar merupakan satu aspek penting dalam mencorak senitaman dan senibina. Kalau diteliti, ia ibarat ‘tali pusat’ yang menghubungkaitkan antara senitaman sebagai penghias dan senibina sebagai struktur induk. Banyak binaan pagar yang tidak efektif iaitu melebihi kriteria yang diperlukan. Sebaliknya, binaan ini menjadi seperti tembok penjara yang mencacatkan pandangan persekitaran.


SEBELUM MEMBINA PAGAR DI SEKELILING RUMAH, BEBERAPA PERKARA PERLU DIAMBIL KIRA:

1.      Aspek keselamatan adalah ciri pertama yang patut diberi perhatian. Ia bukan sekadar mengelakkan rumah dicerobohi tetamu tidak diundang, tetapi juga perlu memikirkan tentang aspek laluan kecemasan. Ini bermakna bentuk pintu dan struktur pagar mestilah memudahkan penghuni rumah menyelamatkan diri apabila berlaku kecemasan seperti kebakaran atau rompakan. Jangan sampai penghuni rumah terperangkap di dalam rumah sendiri kerana sistem binaan pagar yang tidak sempurna atau tidak sesuai.

2.      Aktiviti di dalam rumah tidak sepatutnya menjadi tontonan umum. Perlulah ada sedikit privacy, tetapi halangan pandangan ini janganlah secara total kerana persekitaran rumah perlu ada ruang terbuka untuk peredaran udara. Pada masa yang sama, memberi peluang kepada tuan rumah untuk mengintai apa yang berlaku di luar pagar. Setidak-tidaknya boleh melihat siapakah yang membunyikan loceng di luar pagar. Ketinggian sesuatu tembok atau pagar rumah juga kadangkala melebihi ukuran yang wajar. Ukuran tinggi pagar rumah di paras tiga hingga lima inci atas pandangan paras mata penghuni rumah yang paling tinggi di rumah itu sudah memadai. 
  

3.      Pencahayaan lampu pagar yang menerangi kawasan sekitar pagar adalah satu lagi aspek keselamatan yang penting pada waktu malam. Tetapi pemilihan lampu perlulah menggabungkan ciri-ciri keselamatan dan keindahan senibina. Jangan sesekali menggunakan lampu yang menyilaukan mata di atas tiang pagar kerana ia tidak efektif dari segi keselamatan. Sebaliknya gunakan lampu yang menyinar ke bawah dan pasang ke dalam tembok sebelah luar pagar supaya dapat berfungsi sebagai penyuluh struktur pagar anda juga.

4.      Satu lagi aspek keselamatan ialah loceng bantu daripada teknologi tinggi dan alat komunikasi jarak dekat. Ini dapat membantu tetamu yang datang ke rumah.

5.      Biasanya, penghuni meletakkan tong sampah di luar rumah. Jenis tanaman yang berbunga harum adalah pilihan yang bijak untuk ditanam di sekitar ruang sampah ini untuk membantu mengurangkan bau kurang menyenangkan dari dalam tong tersebut.

6.      Menanam pokok-pokok bunga atau tumbuhan hijau boleh memberi pandangan yang lebih ‘lembut’ kepada persekitaran tembok yang luas dan nampak keras. Tumbuhan merambat terutama yang memanjat dinding adalah paling sesuai untuk tujuan ini. Jenis yang sering digunakan ialah ficus pimula, pokok duit-duit dan beberapa jenis tanaman tumpangan seperti Stag Horn Fern dan Bird Nest Fern.