Thursday, 27 February 2014

Beranda dan Anjung


















Bosan di dalam rumah, kawasan di luar rumah menjadi lokasi terbaik untuk melapangkan fikiran. Tempat yang paling sesuai untuk bersantai di luar rumah adalah tempat yang mendapat teduhan dan terlindung daripada dipandang terus oleh orang yang lalu lalang di hadapan rumah.



















SATU ‘ZON PERALIHAN’

ANTARA ruang yang paling penting dalam senibina bangunan di negara beriklim tropika ialah ruang yang dikenali sebagai ‘transition space’ atau zon peralihan. Walaupun, fungsi utama sesebuah bangunan ialah untuk memberikan perlindungan, keunikannya dinilai daripada kesinambungan yang wujud antara ruang dalaman dan luaran yang dinikmati seseorang. Kehadiran ‘ruang peralihan’ ini adalah penting dan merupakan ikatan yang amat perlu antara senibina dan landskap, mengukuhkan lagi hubungan antara ruang dalaman dan persekitarannya.
Zon peralihan ini merupakan satu elemen penting dalam rekabentuk bangunan di Asia Tenggara. Dari segi fungsi, elemen-elemen ini tidak mempunyai peranan yang spesifik, namun setiap satu mempunyai ciri-ciri tersendiri dan dapat memenuhi pelbagai aktiviti. Ruang-ruang ini cukup mengundang, menyenangkan serta versatile. Keunikan inilah menjadikannya tempat teduhan ringkas yang boleh digunakan oleh penghuni melayan tetamu, makan, rileks dan menikmati pemandangan indah.
 















Seorang arkitek dan pereka yang sensitif akan menampakkan keprihatinan dan bagaimana pentingnya kewujudan serta pertalian ruang-ruang ini dalam rekaan mereka. Ini dilakukan dengan membangun dan mengadaptasikan penyelesaian cara tradisional dalam rekaan mereka.
 
















Di kebanyakan negara di Asia Tenggara, masyarakatnya memperlihatkan kefahaman terhadap perhubungan zon dalaman dan luaran ini. Ini jelas digambarkan dengan kehadiran beranda, balkoni, anjung, patio, pergola, gazebo, wakaf dan sebagainya. Sebagai contoh adalah beranda, ia merupakan salah satu elemen senibina yang cukup praktikal. Tidak sahaja berfungsi sebagai ruang luaran tetapi juga sebagai tempat teduhan dan perlindungan daripada terikan cahaya matahari serta hujan lebat. Pada masa yang sama, ia membolehkan penghuni menikmati peralihan dunia yang diwujudkan ke arah persekitaran yang lebih semulajadi. Sesebuah objek binaan juga menyerlah dengan kehadiran imbasan cahaya dan bayang-bayang menarik yang dihasilkan oleh elemen senibina ini.



 














Salah satu elemen yang tergolong dalam zon peralihan ini ialah anjung dan beranda. Kedua-duanya merupakan tempat yang paling sesuai untuk bersantai di luar rumah serta menjadi lokasi terbaik melapangkan fikiran dan menikmati hidangan. Begitupun, kegiatan ini banyak bergantung kepada keadaan cuaca, persekitaran, gaya hidup dan sebagainya. Jika anda bercadang membuat penambahan di hadapan rumah, perhatikanlah bagaimana penghuni kediaman lain menggayakan anjung dan beranda mereka. 

 

 
 









Sebuah beranda atau halaman luar berturap dengan alat teduhan, adalah merupakan persekitaran  yang cukup sesuai untuk kegiatan bersantai.


 

















ZON PERALIHAN PADA RUMAH MELAYU

Dalam senibina rumah Melayu lama, tangga menjadi laluan utama ke anjung, iaitu bahagian hadapan rumah yang terbuka tapi berbumbung. Anjung berperanan sebagai ruang peralihan atau ‘transition space’ antara kawasan awam dan yang berbentuk private. Bagaimanapun, di kebanyakan rumah hari ini, anjung tidak wujud sama sekali. Kebanyakan orang memasuki rumah tanpa melalui anjung. Jika dahulu anjung menjadi penanda atau titik tumpu ke sesebuah rumah, kini tidak lagi. 




















Anjung, selalunya digunakan sebagai tempat untuk menerima tetamu sama ada yang dikenali atau tidak. Ia juga merupakan ruang yang paling diminati untuk berehat, berborak dan melihat orang ramai berjalan-jalan dalam kampung atau di sesebuah tempat. Pangkin, biasanya dibina di tepi anjung untuk menggalakkan aktiviti ini berlaku.




















Beranda pula merupakan sebuah platform yang mengelilingi rumah. Rekaan yang diperkenalkan dalam senibina Asia Tenggara oleh jurubina Inggeris pada asalnya adalah merupakan rekabentuk senibina tempatan di Sepanyol dan Portugal. Elemen ini diperkenalkan pula di Brazil sebelum Inggeris mengadaptasi rekabentuknya agar bersesuaian dengan keadaan cuaca di India dan Asia Tenggara. 

















Dalam konteks senibina rumah Melayu, ia lebih dikenali sebagai serambi gantung. Bahagian serambi gantung adalah ruang beranda yang sempit dan panjang, terletak bersebelahan atau hadapan rumah ibu. Ruang ini menjadi tempat pertama untuk menyambut tetamu, dilayan dan dijamu. Kadang-kadang, binaan serambi didapati dalam keadaan separuh tertutup dengan binaan kekisi atau ditutup sepenuhnya oleh dinding dan tingkap yang membolehkan pengaliran udara keluar masuk.


  
















KEPENTINGAN ZON PERALIHAN DALAM KEHIDUPAN  SEHARIAN
   
Persepsi pertama apabila menghampiri dan memasuki sesebuah kediaman akan mempenga ruhi perasaa anda bila berada di dalamnya. Jika peralihan ini berlaku dengan mendadak, tidak akan wujud perasaan ketibaan ke dalam sesebuah ruang. Sebaiknya, ketika mendekati atau meninggalkan sesebuah kediaman, kita perlu melalui satu ruang yang menghubungkaitkan ruang dalaman dan luaran ini. Ruang peralihan ini boleh dimainkan oleh beranda atau anjung rumah.
Kewujudan dan keselesaan  yang dirasakan ketika berada di ruang beranda dan anjung ini perlu. Ini berlandaskan satu kajian yang telah dijalankan terhadap tindak-tanduk manusia apabila berada di dalam dan kawasan luar rumah. Menurut Christopher Alexander dalam bukunya, A Pattern Language, seseorang yang menjawab ketukan di pintu kadang-kadang mengintai di sebalik langsir atau bidai untuk melihat siapa yang berada di belakang pintu sebelum membukanya. Kadang-kadang seseorang mahu dirinya terlindung dan tidak kelihatan seolah-olah sedang mengintai dari depan pintu rumah mereka. Jika yang dilihat merupakan kawan lama atau jiran yang dikenali, seseorang akan segera mengambil peluang menjerit dan melambai tangan dengan penuh harapan.


PERLUNYA SATU TEDUHAN DI LUAR PINTU

Selain itu, seseorang akan cuba mendapatkan perlindungan daripada hujan, angin atau terik matahari sementara menunggu di luar rumah. Dia juga akan berdiri berdekatan pintu sementara menunggu pintu dibuka. Begitu juga adat ketika tetamu meninggalkan rumah yang dikunjungi. Bila tidak wujud zon peralihan yang menandakan sudah tiba masa untuk meninggalkan rumah, perbualan akan berlanjutan dan tidak berkesudahan. Kebiasaannya bila tetamu mengambil keputusan mengundur diri, mereka cuba meninggalkan rumah dengan segera tanpa ragu-ragu.mereka juga akan cuba mengucapkan selamat tinggal dengan bersahaja dan tidak terlalu mendadak.. Jadi, ruang peralihan perlulah diberi definisi yang jelas.





No comments:

Post a Comment